KAZAKHSTAN, 20 November- Kazakhstan melaporkan penemuan hampir 2,000 bangkai anjing laut di pantai Laut Kaspia dalam tempoh kurang sebulan, semalam.
Penemuan itu menimbulkan kebimbangan baharu terhadap spesies terancam tersebut.
Beberapa saintis mengaitkan kematian itu dengan pencemaran di laut tersebut, yang turut menyaksikan penurunan paras air akibat peningkatan suhu.
Menurut pakar dari Institut Hidrobiologi dan Ekologi Kazakhstan, pencemaran persekitaran laut berkemungkinan menjadi penyebab kematian haiwan tersebut.
Namun, jawatankuasa perikanan menyalahkan "gas bawah laut" yang dikatakan dilepaskan selepas gempa bumi marin.
Sebanyak 1,989 bangkai anjing laut ditemukan antara 24 Oktober hingga 18 November lalu, menurut Jawatankuasa Perikanan Kazakhstan.
Negara Asia Tengah itu sebelum ini pernah melaporkan kematian besar-besaran anjing laut, satu-satunya mamalia yang hidup di Laut Kaspia.
Kazakhstan dan Rusia telah menyenaraikan anjing laut sebagai spesies terancam.
Kazakhstan juga menyatakan bahawa populasi anjing laut itu telah menurun kepada 270,000 ekor dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Laut Kaspia ialah laut tertutup yang bersempadan dengan lima negara iaitu Azerbaijan, Iran, Kazakhstan, Rusia, dan Turkmenistan.
Kesemua negara itu melaporkan penemuan bangkai anjing laut di pantai mereka secara berkala. - AFP