fb fb fb fb fb

Prabowo gesa jemaah menteri lindungi sektor penerbangan

Presiden Indonesia Prabowo Subianto/ Foto AFP

JAKARTA, 3 Disember- Presiden Indonesia Prabowo Subianto mengarahkan Kabinet Merah Putih untuk menyokong industri penerbangan susulan keputusan menurunkan tambang penerbangan sebanyak 10 peratus menjelang cuti akhir tahun, lapor Agensi Berita ANTARA.

Beliau berkata dasar itu adalah langkah yang tepat, namun keadaan industri juga perlu diambil kira.

“Kita mesti berwaspada agar penurunan tambang penerbangan ini tidak merugikan industri penerbangan,” tegasnya dalam Mesyuarat Kabinet pleno di Istana Presiden, Jakarta pada Isnin.

Beliau turut meminta menteri Kabinet meningkatkan kerjasama untuk membuat persiapan optimum bagi keselamatan serta semua aktiviti berkaitan cuti Hari Krismas dan Tahun Baharu yang akan datang.

Dalam hal ini, beberapa menteri diminta meningkatkan penyelarasan, termasuk Menteri Penyelaras Infrastruktur dan Pembangunan Wilayah Agus Harimurti Yudhoyono, Menteri Pengangkutan Dudy Purwagandhi, Menteri Pelancongan Widiyanti Putri Wardhana dan Menteri Kerja Raya Dody Hanggodo.

“Untuk penghujung tahun, Krismas, dan cuti Tahun Baharu 2025, sila lakukan persiapan secara maksimum,” katanya kepada jemaah menteri.

Presiden turut menekankan bahawa kerjasama antara kementerian dan agensi diperlukan supaya momentum percutian itu dapat digunakan untuk meningkatkan ekonomi negara dan mengekalkan kepercayaan rakyat.

“Kami memberi jaminan kepada orang ramai bahawa mereka dapat menyambut Tahun Baharu dengan selamat dan lancar. Ini juga memberi manfaat kepada kita, momentum kita untuk meningkatkan ekonomi,” katanya.

Kerajaan Indonesia telah memutuskan untuk menurunkan harga tiket penerbangan domestik sebanyak 10 peratus di semua lapangan terbang semasa cuti Krismas dan Tahun Baharu.

Pelarasan tarif itu akan berkuat kuasa dari 19 Disember 2024 hingga 3 Januari 2025.- BERNAMA-ANTARA

 

ROSLINA BINTI DIN