BEIRUT, 4 Disember- Serangan dron Israel di sebuah bandar di selatan Lubnan semalam telah menyebabkan seorang maut, di tengah-tengah gencatan senjata yang rapuh antara Israel dan Hizbullah, menurut Kementerian Kesihatan Lubnan.
"Serangan dron musuh (Israel) di bandar Shebaa telah membunuh seorang individu," kata kenyataan tersebut.
Agensi Berita Kebangsaan (NNA) melaporkan bahawa mangsa merupakan seorang pengembala.
Serangan udara Israel di selatan Lubnan Isnin lalu mengorbankan 11 orang, menjadikannya serangan paling berdarah sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada Rabu lalu, menurut Kementerian Kesihatan Lubnan.
Kementerian itu memaklumkan bahawa serangan tersebut membunuh enam orang di kampung Haris, empat di Tallousa, dan seorang di Jdeidet Marjayoun.
Sementara itu, Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) menggesa semua pihak mematuhi resolusi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) yang menjadi asas kepada pelaksanaan gencatan senjata.
"Ketua pasukan pengaman, Aroldo Lazaro, telah bertemu dengan Mejar Jeneral Jasper Jeffers dari Amerika Syarikat (AS) dan Duta AS, Lisa Johnson, untuk membincangkan usaha memulihkan kestabilan," menurut kenyataan UNIFIL.
Jeffers, yang tiba di Lubnan minggu lalu, akan mengetuai jawatankuasa yang terdiri daripada AS, Perancis, Lubnan, Israel, dan UNIFIL bagi menangani pelanggaran gencatan senjata.
Rakan sejawat Jeffers dari Perancis dijangka tiba minggu ini untuk memulakan tugas jawatankuasa tersebut. - AFP