BEIJING, 3 Disember- Perdana Menteri Nepal Khadga Prasad Sharma Oli, mengadakan lawatan ke Beijing untuk bertemu dengan pemimpin-pemimpin China bertujuan memperluas kerjasama kedua negara.
Penyiar negara China, CCTV melaporkan beliau tiba di Beijing malam tadi.
Pemimpin republik Himalaya itu dijadualkan bertemu Presiden China Xi Jinping dan Perdana Menteri Li Qiang semasa lawatannya, yang berlangsung sehingga Khamis.
Kementerian Luar China minggu lalu menyatakan bahawa Xi dan Oli akan bertukar pandangan untuk mempererat hubungan.
Menurut jurucakap kementerian, Mao Ning, ia termasuk memperluas kerjasama menerusi inisiatif utama infrastruktur antarabangsa 'Xi, Belt and Road Initiative' serta pertukaran dan kerjasama dalam pelbagai bidang.
Sementara itu, Timbalan Setiausaha Parti Komunis Nepal Unified Marxist-Leninist (CPN-UML) memberitahu AFP bahawa lawatan tersebut akan memberi tumpuan kepada perjanjian pelaburan terdahulu termasuk pembinaan lapangan terbang antarabangsa di Pokhara, destinasi pelancongan utama yang baharu selesai.
Kementerian Luar Nepal menyatakan bahawa Oli akan bertukar pandangan mengenai perkara yang menjadi kepentingan bersama dengan rakan sejawatannya dari China semasa lawatan tersebut.
Beliau juga dijadual menyampaikan ucaptama di Universiti Peking yang berprestij di China dan berucap di forum perniagaan dua hala, menurut kenyataan kementerian itu.
Berdasarkan data, India menyumbang hampir 65 peratus daripada jumlah perdagangan Nepal dalam tahun kewangan 2023-24. Manakala perdagangan China pula sekitar 15 peratus, meskipun syarikat-syarikat China mendahului dalam beberapa industri, termasuk 70 peratus bahagian pasaran kenderaan elektrik yang sedang berkembang di Nepal.
"India adalah pelabur asing terbesar di Nepal dengan pelaburan melebihi AS$750 juta tahun lalu, manakala pelaburan China melebihi AS$250 juta", menurut bank pusat Nepal.-AFP