fb fb fb fb fb

Polis Sri Lanka serbu protes rakyat

(Penunjuk perasaan antikerajaan bergelut dengan polis semasa tunjuk perasaan di Colombo/ AFP)

COLOMBO, 25 September- Polis Sri Lanka terpaksa menyuraikan ratusan penunjuk perasaan semalam, sehari selepas langkah mengekang hak berprotes sebagai tindak balas kepada pergolakan berbulan-bulan yang tercetus akibat kemelesetan ekonomi.

Presiden Ranil Wickremesinghe dikatakan mengenakan tindakan keras terhadap aktivis yang memaksa bekas presiden yang digulingkan, Gotabaya Rajapaksa, meninggalkan negara dan meletak jawatan pada Julai lalu, sewaktu kemuncak krisis negara.

Pegawai yang memakai peralatan antirusuhan menyekat perarakan pelajar beberapa jam selepas kerajaan mengisytiharkan pusat bandar sebagai 'zon keselamatan tinggi' dan melarang bantahan di sekitarnya.

Polis turut bertindak melepaskan gas pemedih mata dan meriam air untuk menyuraikan penunjuk perasaan yang menuntut pembebasan rakan aktivis yang ditahan di bawah undang-undang anti keganasan yang zalim.

Saksi juga melihat polis menahan puluhan peserta yang terlibat.


(Penunjuk perasaan antikerajaan mengambil bahagian dalam perarakan protes di Colombo/ AFP)

Jumaat lalu, Wickremesinghe mengarahkan pengharaman semua demonstrasi dan protes berhampiran institusi utama, termasuk pejabatnya dan rumah pegawai tinggi tentera.

Persatuan peguam berpengaruh Sri Lanka mengecam larangan itu dan berkata, ia menjejaskan kebebasan bersuara dan hak berhimpun.

Dalam satu kenyataan, mereka berkata arahan itu 'bertujuan untuk menyekat kebebasan warganegara dengan ketara tanpa sebarang asas munasabah atau undang-undang.

Sri Lanka mengalami kekurangan makanan dan bahan api yang teruk selama berbulan-bulan, dihimpit inflasi yang berterusan selepas kehabisan mata wang asing untuk membiayai import penting tahun ini.

Kemuncak pergolakan menyebabkan ribuan orang menyerbu kediaman Rajapaksa dan memaksanya meninggalkan negara itu.

Kerajaan juga gagal membayar hutang asingnya sebanyak AS$51 bilion (RM233.52 bilion) dan kini sedang memuktamadkan langkah penyelamatan Dana Kewangan Antarabangsa.

Tidak lama selepas Wickremesinghe mengambil alih kuasa, tentera mula menyerbu tapak protes di luar pejabat presiden dan menahan ratusan orang yang menyertai demonstrasi.

Polis berkata, tiga pemimpin pelajar ditahan di bawah undang-undang antikeganasan, manakala selebihnya dibebaskan dengan ikat jamin.

Rajapaksa pulang ke tanah air awal bulan ini dan hidup di bawah perlindungan kerajaan walaupun ada desakan untuk mendakwanya atas kekejaman yang dilakukan ketika perang saudara yang panjang di Sri Lanka serta rentetan dakwaan rasuah sewaktu memegang jawatan. - AFP

Media Baharu