MADRID, 24 Oktober - Pasukan Guardia Civil Sepanyol merampas sebanyak 1.7 tan dadah jenis hashish dalam satu operasi di perairan berhampiran bandar Chipiona, wilayah barat daya Cadiz, pada Jumaat.
Menurut laporan yang dikeluarkan pihak berkuasa, empat individu ditahan dalam operasi berkenaan yang melibatkan dua bot peronda dan sebuah helikopter bagi menahan sebuah bot mencurigakan di perairan itu.
Ketika kejadian, dua lagi bot kosong dilaporkan cuba menghalang pihak berkuasa daripada menghampiri bot yang membawa dadah tersebut.
Pihak berkuasa turut menemui 114 tong berisi bahan api di atas bot berkenaan, dipercayai digunakan untuk membolehkan perjalanan yang lebih panjang ketika operasi penyeludupan itu dijalankan.- REUTERS