TURKIYE, 24 Oktober - Sekurang-kurangnya 14 migran maut selepas bot getah yang dinaiki karam di perairan wilayah Mugla, barat Turkiye, pada Jumaat.
Pejabat Gabenor Mugla menerusi kenyataan memaklumkan pasukan kecemasan menerima panggilan kecemasan daripada seorang warga Afghanistan di daerah Bodrum, sebelum tiga bot pengawal pantai dan pasukan penyelamat dikerahkan ke lokasi kejadian.
Menurut mangsa yang terlibat, seramai 18 orang menaiki bot tersebut yang kemudian tenggelam kira-kira 10 minit selepas memulakan perjalanan.
Warga Afghanistan diselamatkan pengawal pantai selepas berenang selama enam jam untuk sampai ke darat, menurut kenyataan itu.
Pasukan mencari dan menyelamat turut menemui dua lagi mangsa terselamat, manakala 14 mayat telah ditemukan setakat ini. Usaha mencari baki mangsa yang hilang masih diteruskan.-REUTERS