fb fb fb fb fb

Polis Las Vegas dapat waran geledah, kes pembunuhan Tupac

LOS ANGELES, 19 Julai- Polis Las Vegas yang menyiasat kes pembunuhan legenda rap Tupac Shakur hampir tiga dekad lalu memperoleh waran geledah baharu, kata seorang jurucakap pada Selasa.

Artis "California Love" itu ditembak mati dalam kejadian di bandar Nevada. Ketika itu dia berusia 25 tahun namun pembunuhnya tidak pernah ditangkap.

Jabatan Polis Metropolitan Las Vegas "boleh mengesahkan waran geledah telah diberikan" di bandar jiran Henderson pada Isnin, kata jurucakap itu dalam satu kenyataan yang dihantar melalui e-mel kepada AFP.

Pencarian itu adalah "sebahagian daripada siasatan pembunuhan Tupac Shakur yang sedang dijalankan," katanya, tanpa memberikan sebarang butiran lanjut.

Shakur mempunyai kerjaya yang singkat tetapi hebat dengan meraih populariti selain memiliki gaya tersendiri dan memiliki pengaruh yang cukup kuat. Dia pernah mencatatkan jualan album sebanyak 75 juta unit.

Shakur juga menjadi tokoh penting dalam persaingan hip-hop yang dibanggakan dengan melakukan promosi yang sangat hebat di Pantai Timur dan Pantai Barat.

Walaupun dilahirkan di New York, Shakur berpindah dengan keluarganya ke California. Dia telah mula dikenali di Pantai Barat.

Kematian Shakur pada September 1996 mencetuskan pelbagai teori dan telah menarik perhatian media berkenaan kes kematiannya.

Ramai percaya Shakur dibunuh kerana persaingan antara label muzik mereka, Death Row yang berpangkalan di LA dan Bad Boy Entertainment di New York.

Tetapi beberapa ahli sejarah muzik berkata, perkara itu hanya berita yang sengaja dibesar-besarkan atas sebab komersial.- AFP

(Mural didedikasikan untuk ingatan penyanyi rap AS Tupac Shakur dilihat di Los Angeles/AFP)

Media Baharu