fb fb fb fb fb

Polis Jepun tahan suspek bunuh empat mangsa termasuk dua polis

(Sebuah kereta yang membawa suspek lelaki yang melakukan insiden
tembak dan tikam memasuki Balai Polis Nakano, Jepun / REUTERS)

TOKYO, 26 Mei- Polis Jepun menahan seorang lelaki yang menyembunyikan diri di dalam bangunan selepas didakwa membunuh empat mangsa termasuk dua anggota polis dalam serangan menggunakan pistol dan pisau, kata pegawai kepada AFP.

Lelaki itu ditahan di luar kawasan ladang berhampiran bandar Nakano di wilayah Nagano, dengan polis mengesahkan kematian keempat semalam - seorang wanita warga emas yang ditemui cedera di tempat kejadian, sebelum disahkan meninggal dunia.

Jurucakap polis memberitahu AFP, suspek ditahan kira-kira jam 4.30 pagi, selepas ditemui bersembunyi selama beberapa jam di dalam rumah milik bapanya - Speaker Dewan di bandar Nakano, kata agensi berita Kyodo.


(Polis berada di tempat suspek bersembunyi selepas didakwa membunuh empat orang
termasuk dua pegawai polis dalam serangan pistol dan pisau/ REUTERS)

Dia didakwa menikam mangsa dengan pisau besar, sebelum menggunakan senapang; memburu untuk menembak dua anggota polis yang menjawab panggilan kecemasan.

Pihak berkuasa menggesa orang ramai untuk kekal tinggal di dalam rumah selepas kejadian amuk bermula pada petang Khamis.

Pegawai yang terbunuh dikenali sebagai Yoshiki Tamai, 46, dan Takuo Ikeuchi, 61.

Dua wanita, termasuk ibu suspek, melarikan diri dari rumah tempat suspek bersembunyi, seorang berjaya keluar kira-kira jam 8.35 malam dan seorang lagi selepas tengah malam.

Seorang saksi memberitahu penyiar awam NHK, dia bekerja di ladang berhampiran apabila 'seorang wanita berlari dari jalan sambil berkata, 'tolong saya', dan terjatuh.

"Di belakangnya datang seorang lelaki yang membawa pisau besar, lalu menikam di belakang wanita itu," kata saksi berusia 72 tahun itu.

Dia kemudian menghubungi perkhidmatan kecemasan manakala jiran cuba menyelamatkan wanita itu.

NHK, yang memetik polis, berkata penyerang kemudian melepaskan tembakan dipercayai senapang patah ke arah pegawai polis yang tiba di tempat kejadian.

Penyerang kemudian meletakkan senjata itu pada tingkap kereta peronda polis dan melepaskan tembakan dua kali, lapor NHK.

Motif serangan belum diketahui. -AFP

Media Baharu