JAKARTA, 25 Oktober– Pihak berkuasa Indonesia menahan seorang wanita yang membawa pistol di luar istana presiden di Jakarta.
Menurut Pegawai Presiden, Ali Mochtar Ngabalin kejadian itu berlaku kira-kira jam 7.00 pagi waktu tempatan.
Beliau berkata wanita itu belum memasuki perkarangan istana dan Presiden Joko Widodo tiada di lokasi tersebut.
Wanita tersebut yang berusia dalam lingkungan 20-an telah ditahan oleh pegawai keselamatan selepas mengacukan pistol berhampiran istana, tambahnya.
Jurucakap polis Jakarta berkata wanita itu kini sedang disoal siasat, motif dan bagaimana senjata itu diperoleh belum diketahui.
Tahun lalu, polis menembak mati seorang wanita yang telah melepaskan tembakan ke arah pegawai di ibu pejabat polis negara di Jakarta.- REUTERS
(Foto hiasan)