fb fb fb fb fb

Polis buru suspek tembak pangkalan tentera India

AMRITSAR, 13 April- Polis India memburu dua lelaki bertopeng yang bertanggungjawab ke atas pembunuhan empat askar sebelum Subuh di pangkalan tentera berhampiran sempadan Pakistan.

Serangan itu berlaku pagi semalam di stesen tentera Bathinda di Punjab, sebuah negeri di utara di mana ketegangan memuncak berhubung kebangkitan semula gerakan pemisah.

Dalam serangan itu, empat askar telah ditembak semasa mereka sedang tidur.

Menurut laporan polis, seorang mejar tentera yang mendakwa telah menyaksikan serangan itu berkata, dua lelaki tidak dikenali telah memasuki pos terkawal itu dengan muka ditutup.

Seorang membawa senapang yang dilaporkan hilang dari pangkalan dua hari sebelum itu, kata laporan itu.

Bagaimanapun, kedua-dua suspek melarikan diri ke arah hutan berhampiran berek selepas serangan dilakukan.

(Foto hiasan)

Polis sedang mengimbas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan usaha mencari suspek sedang dijalankan, kata laporan media tempatan.

Seorang lagi askar ditemukan mati akibat bunuh diri di balai tentera yang sama pada hari yang sama dengan serangan itu, tetapi tiada kaitan dengan tembakan pada hari tersebut, kata tentera dalam satu kenyataan.

Punjab berada dalam kegelisahan sejak pihak berkuasa melancarkan gerakan memburu pendakwah pemisah Sikh Amritpal Singh bulan lalu. -AFP

Media Baharu