fb fb fb fb fb

Pelarian Afrika Selatan palsukan kematian diekstradisi

CAPE TOWN, 13 April- Seorang pelarian Afrika Selatan yang memalsukan kematiannya sendiri dalam penjara telah diekstradisi dari Tanzania, kata kerajaan.

Thabo Bester, disabitkan dengan kesalahan merogol dan membunuh, telah melarikan diri dari penjara yang dikendali persendirian di Bloemfontein pada Mei tahun lalu tetapi polis Afrika Selatan baharu mengetahui bulan lalu.

Bester dipercayai meninggal dunia selepas membakar dirinya di belakang jeruji besi.

Bagaimanapun, pada akhir Mac polis berkata, ujian DNA mendedahkan mayat hangus yang ditemukan dalam selnya adalah milik orang lain.

Digelar sebagai "perogol Facebook", Bester dijatuhi hukuman penjara seumur hidup kerana merogol, merompak dan membunuh pada 2012, memikat mangsa di platform media sosial sebelum merogol dan merompak mereka.

Dia membunuh sekurang-kurangnya seorang mangsa.

Pada Sabtu, Menteri Kehakiman Afrika Selatan Ronald Lamola mengumumkan bahawa Bester telah ditangkap oleh pihak berkuasa Tanzania pada malam Jumaat bersama seorang wanita, warga Mozambique yang dilaporkan sedang berasmara bersamanya.

Lamola berkata, pasangan itu telah diekstradisi ke Afrika Selatan.

"Kami boleh mengesahkan bahawa pelarian ini telah dikembalikan ke Afrika Selatan dari Tanzania, Lamola memberitahu sidang akhbar di sini.

(Foto Google)

"Encik Thabo Bester telah dimasukkan semula ke penjara pusat Kgosi Mampuru", kata Lamola sambil berterima kasih kepada kerajaan Tanzania.

Beliau berkata, wanita itu ditahan sementara menunggu keputusan mahkamah.

Bester dan wanita itu tiba di lapangan terbang milik persendirian di utara Johannesburg pada awal pagi tadi.

Bapa kepada wanita itu awal minggu ini didakwa atas tuduhan membunuh berhubung lelaki yang ditemukan mati dalam sel Bester. -AFP

Media Baharu