fb fb fb fb fb

Poland sedia bekal jet pejuang ke Ukraine, AS tolak tawaran

(Papan iklan harga bahan api di sebuah stesen minyak di Washington pada 8 Mac 2022/AFP)

KIEV, 9 Mac- Konflik Rusia-Ukraine terus memuncak menyaksikan Amerika Syarikat dan sekutu Barat mengambil beberapa tindakan terbaru termasuk sokongan ketenteraan kepada Ukraine dan sekatan bahan api.

Poland menyatakan negaranya sedia menghantar jet pejuang MiG-29 ke Amerika Syarikat. Kementerian Luar Poland menerusi satu perjanjian menyebut, jet tersebut akan diserahkan kepada Ukraine.

Tetapi Washington menolak tawaran itu atas sebab bakal mewujudkan ‘kebimbangan serius’ dalam kalangan sekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Jelas Washington, sebarang keputusan untuk memindahkan pesawat tempur Poland ke Ukraine adalah bawah kerajaan Poland.

Terdahulu media antarabangsa melaporkan ‘White House’ memberi ‘lampu hijau’ kepada NATO untuk membekalkan jet pejuang kepada Ukraine.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken telah menandatangani perjanjian dengan Poland dan beberapa negara lain untuk menghantar jet pejuang MiG buatan Rusia mereka bagi membantu tentera Ukraine.

Namun, Rusia terlebih dahulu memberi amaran perang terhadap mana-mana negara yang campur tangan.

Sementara itu, Presiden AS, Joe Biden mengumumkan larangan import minyak, gas dan arang batu Rusia dan menegaskan pencerobohan terhadap Ukraine tidak akan memberi kemenangan kepada Putin.

Britain turut menyatakan akan menghentikan import minyak Rusia secara berperingkat pada akhir tahun ini manakala Kesatuan Eropah berkata ia akan mengurangkan import gas sebanyak dua pertiga.

Kesannya harga minyak mentah naik mendadak dengan penanda aras Brent melonjak 6.8 %.

Norway – pembekal gas terbesar Eropah selepas Rusia berkata mereka tidak dapat meningkatkan pengeluaran disebabkan sudah beroperasi pada kapasiti penuh.

(Pekerja dan sukarelawan di Port Reading, New Jersey sedang membungkus barangan bantuan untuk dihantar ke Ukraine/AFP)

Sementara itu, pihak berkuasa Ukraine memindahkan 5,000 orang awam dari bandar Sumy, timur laut Ukraine menerusi perjanjian dengan Moscow yang bersetuju menghentikan serangan dan mewujudkan koridor kemanusiaan di kawasan yang dikepung tentera Rusia.

Pada Isnin, pihak berkuasa Ukraine menyatakan 21 orang mati termasuk dua kanak-kanak terbunuh dalam serangan udara di bandar tersebut (Sumy) menjelang penetapan koridor kemanusiaan yang dijadualkan pada Selasa waktu tempatan.

Dalam perkembangan berkaitan, Moscow turut mengumumkan gencatan senjata kemanusiaan baharu di Ukraine pada pagi Rabu bagi membolehkan orang awam meninggalkan lokasi pertempuran.

Rusia mencadangkan satu laluan yang dipersetujui bermula sebelum pukul 3.00 MSK pada 9 Mac, menurut laporan agensi berita Rusia.

Setakat ini, Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan jumlah pelarian susulan konflik Rusia-Ukraine kini meningkat kepada dua juta orang.

Setakat ini, Poland sudah menerima 1.2 juta penduduk. -AFP

Media Baharu