fb fb fb fb fb

IAEA terputus hubungan dengan sistem data keselamatan Chernobyl

(Gambar fail Loji Janakuasa Nuklear Chernobyl/AFP)

VIENNA, 9 Mac- Loji janakuasa nuklear Chernobyl tidak lagi menghantar data ke badan pemantau atom PBB, menurut Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) yang turut menyuarakan kebimbangan terhadap kakitangan bertugas di kemudahan Ukraine itu.

Pada 24 Februari lalu Rusia menyerang Ukraine dan merampas loji Chernobyl, tapak bencana terburuk nuklear pada 1986 yang membunuh ratusan nyawa serta menyebabkan pencemaran radioaktif ke Eropah.

Ketua Pengarah IAEA, Rafael Grossi berkata, “penghantaran data kawalan dari sistem pemantauan perlindungan yang dipasang di loji Chornobyl NPP tidak dapat dikesan,” katanya menerusi kenyataan.

“Pihak agensi sedang meneliti status sistem pemantauan perlindungan sama di lokasi lain di Ukraine dan akan berkongsi maklumat lanjut dalam tempoh terdekat, tambah kenyataan itu.

IAEA menggunakan terma “perlindungan” untuk memperjelaskan langkah teknikal yang digunakan untuk aktiviti nuklear dengan objektif untuk menghalang penyebaran senjata nuklear melalui pengesanan awal salah guna bahan tersebut.  

Lebih 200 kakitangan teknikal dan pengawal terperangkap di tapak berkenaan, dipaksa bekerja selama 13 hari berturut-turut sejak Rusia mengambil alih kawasan tersebut.

Keadaan petugas di tapak itu ‘semakin teruk’, kata IAEA merujuk kenyataan pengawal selia nuklear Ukraine.

Tapak loji yang tidak beroperasi itu terletak dalam zon pengecualian, turut menempatkan reaktor yang sudah dinyahaktifkan serta kemudahan sisa radioaktif.

Lebih 2,000 kakitangan masih bertugas di loji tersebut kerana tapak itu masih memerlukan pengurusan keselamatan berterusan bagi mengelak malapetaka nuklear berulang.

IAEA turut menggesa pihak Rusia membenarkan pertukaran shif untuk membolehkan pekerja berehat seterusnya memastikan keselamatan di tapak loji.

“Saya amat bimbang tentang kesukaran dan tekanan dihadapi kakitangan di loji nuklear Chornobyl serta risiko keselamatan di tapak loji itu, kata Grossi.

Jelas Grossi dengan sistem penghantaran data terputus manakala pengawal selia Ukraine hanya dapat berhubung dengan loji melalui e-mel, Grossi mengulangi tawaran untuk pergi ke tapak atau lokasi lain bagi memastikan keselamatan loji terjamin.

(Ketua Pengarah IAEA, Rafael Grossi semasa mesyuarat di Vienna pada 7 Mac 2022/AFP)

Minggu lalu, Rusia telah menyerang dan merampas loji janakuasa atom terbesar Eropah di Zaporizhzhia, mewuudkan kebimbangan "keganasan nuklear" di Kiev.

Di loji Zaporizhzhia terdapat enam reaktor dengan reka bentuk lebih moden dan selamat berbanding di Chernobyl.

Menurut IAEA dua loji masih beroperasi dan kakitangan menjalankan tugas secara bergilir manakal kesan radiasi dilaporkan kekal stabil. -AFP

Media Baharu