fb fb fb fb fb

PM Singapura arah menteri pengangkutan bercuti, terbabit siasatan rasuah

(FOTO HIASAN)

SINGAPURA, 12 Julai- Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong telah mengarahkan menteri pengangkutannya untuk bercuti selepas badan anti-rasuah berkuasa negara bandar itu melancarkan siasatan rasuah ke atasnya.

Lee berkata Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) telah memberi taklimat kepadanya tentang kes yang telah didedahkan dan meminta kelulusannya untuk menjalankan siasatan rasmi terhadap Menteri Pengangkutan S. Iswaran.

"Saya telah mengarahkan Iswaran untuk mengambil cuti sehingga siasatan ini selesai," kata Lee dalam catatan Facebook.

CPIB berkata Iswaran dipanggil untuk membantu siasatan, namun tidak boleh mendedahkan butiran lanjut kerana siasatan masih dijalankan.

"CPIB mengakui minat orang ramai dalam kes ini kerana seorang menteri sedang diambil keterangan, CPIB akan menyiasat kes ini secara menyeluruh dengan keazaman yang kuat untuk membuktikan fakta dan kebenaran, serta menegakkan kedaulatan undang-undang," kata badan induk itu dalam satu kenyataan.

"Singapura mengamalkan pendekatan sifar toleransi terhadap rasuah. CPIB menyiasat semua kes dengan tegas dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti rasuah."

Hab kewangan serantau Singapura telah disenaraikan secara konsisten dalam tinjauan sebagai antara negara yang paling kurang rasuah di dunia.

Gaji menteri di Singapura setanding dengan aras gaji tertinggi dalam sektor swasta, dengan perdana menteri pertama, Lee Kuan Yew berkata ia membantu menarik orang terbaik untuk menyertai kerajaan dan mencegah rasuah.

Perdana menteri Singapura memperoleh sekitar 2.2 juta dolar Singapura setahun termasuk bonus, empat kali ganda gaji presiden AS.

Menteri memperoleh sekitar Sg$935,000 termasuk pelbagai bonus, menurut Bahagian Perkhidmatan Awam kerajaan.


(Menteri Pengangkutan Singapura, S. Iswaran)

Media Baharu