(Perancis kini bergelut dengan mogok di kilang penapisan minyak yang dikendalikan
oleh TotalEnergies dan ExxonMobil/AFP)
PARIS, 12 Oktober- Perdana Menteri Perancis Elisabeth Borne pada Selasa mengarahkan pihak berkuasa tempatan menempatkan sejumlah pekerja di kilang penapisan bagi memastikan bekalan petrol ke stesen minyak di seluruh negara tidak terputus.
Perancis kini bergelut dengan mogok di kilang penapisan minyak yang dikendalikan oleh TotalEnergies dan ExxonMobil, lapor Xinhua.
"Gagal mencapai persetujuan berkenaan gaji tidak mewajarkan bekalan minyak disekat.
"Menolak rundingan menjadikan Perancis sebagai mangsa keadaan," kata Borne dalam sidang Dewan Perwakilan.
Menurut Borne, 30 peratus stesen minyak negara itu sudah kehabisan sekurang-kurangnya satu jenis bahan api, dengan wilayah Greater Paris dilaporkan antara terjejas teruk.
Pada hujung minggu, TotalEnergies dan Gabungan Am Buruh (CGT) bersetuju untuk memulakan rundingan tetapi tiada persetujuan dicapai setakat ini.
Penghantaran bahan api terjejas hingga menimbulkan kebimbangan kekurangan bahan api manakala perkhidmatan bas sekolah turut terjejas.
(Penghantaran bahan api terjejas hingga menimbulkan kebimbangan kekurangan bahan api
manakala perkhidmatan bas sekolah turut terjejas/AFP)
Menteri peralihan tenaga Perancis Agnes Pannier-Runacher pada Selasa memberi amaran mengenai harga dimanipulasi di beberapa stesen minyak.
"Ketegangan yang berlaku tidak mewajarkan kenaikan harga di beberapa stesen minyak.
“Kami tidak akan membenarkan harga dinaikkan sewenang-wenangnya," katanya dalam akaun media sosialnya.
Para pekerja melancarkan mogok menuntut kenaikan gaji untuk mengimbangi kadar inflasi tinggi di Perancis. -BERNAMA