(Foto FB Anwar Ibrahim)
KUALA LUMPUR, 6 Jun- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Selasa mengadakan lawatan kerja ke Petronas.
Kehadiran beliau di Menara Berkembar Petronas disambut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik.
Anwar memaklumkan diberi taklimat berhubung industri minyak dan gas oleh syarikat nasional itu.
Taklimat turut menyentuh berhubung perencanaan dan strategi masa hadapan Petronas dalam usaha menghasilkan sumber pertumbuhan baharu yang lebih lestari dan bertanggungjawab.
"Saya juga telah mengadakan pertemuan serta perbincangan berasingan bersama Ahli Jawatankuasa Penasihat kepada Menteri Kewangan untuk mendengar perkembangan terkini mengenai tugasan yang telah dilaksanakan," katanya dalam hantaran di laman Facebook.
"Didoakan Petronas terus berkembang pesat dengan jayanya!," tambah beliau.
Hadir sama pada pertemuan itu Penasihat Petronas, Tan Sri Mohd Hassan Marican; Pengerusi Petronas, Tan Sri Mohd Bakke Salleh serta Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Petronas, Liza Mustapha.
(Anwar (dua dari kanan) ketika mengadakan lawatan ke Petronas/Foto FB Anwar Ibrahim)