KUALA LUMPUR, 6 Jun- Misi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki Everest Orang Kurang Upaya (OKU), Muhammad Hawari Hashim dihentikan sehari awal, selepas dron berdepan masalah menerima gambar dan video yang dirakam.
Pengurus Pasukan Malaysia Everest 2023 (ME2023), Ayu Wanirah Naharudin menerusi hantaran di Facebook memaklumkan maklumat itu diterimanya daripada Ketua Misi, Azim Afif Ishak.
Masalah itu berkemungkinan berpunca daripada faktor cuaca sejuk menyebabkan dron sukar berfungsi dengan baik selepas tiga hari berturut-turut digunakan.
Tambah Ayu Wanirah, ketika ini dia dan seorang pendaki ME2023, Tiong Ling Yang sudah berada di Kathmandu untuk meneliti gambar dan video yang dihantar.
"Gambar dan video itu akan diteliti menggunakan skrin besar bagi mendapatkan sebarang petunjuk sepanjang operasi SAR itu diadakan," katanya.
(Muhammad Hawari Hashim/Foto ME2023)
Sebelum ini, pencarian turut menggunakan khidmat dan kepakaran malim gunung, selain melalui udara menggunakan helikopter.
Menurut Ayu Wanirah lagi, pasukan operasi SAR diketuai Azim Afif bersama seorang jurugambar dan dua malim gunung dijangka pulang ke Kathmandu, petang ini.
Dua dron digunakan dalam operasi SAR iaitu DJI Matrice 300 RTK dan DJI Mavic 3 yang dibawa dari Malaysia.
Selain berhadapan masalah dron, syarikat pengendali helikopter yang dilantik, Kailash di Nepal turut memanggil pulang juruterbangnya, Philipp pulang ke negara asal di Jerman.