fb fb fb fb fb

PM Jepun mahu rombak kabinet pada Rabu

NEW DELHI, 10 September- Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida pada Ahad berkata beliau akan merombak kabinetnya seawal hari Rabu.

Pemimpin konservatif itu, yang dalam lawatan ke New Delhi untuk menghadiri sidang kemuncak G20, juga berkata beliau merancang untuk mengeluarkan pakej ekonomi baharu bagi membantu rakyatnya menangani inflasi.

"Selepas saya kembali ke Jepun nanti, saya akan berkoordinasi dengan individu yang berkaitan dan akan melaksanakan pelantikan kakitangan untuk jawatan kepimpinan parti (pemerintah) dan jawatan menteri," kata Kishida pada sidang media yang disiarkan di televisyen di ibu negara India.

"Saya mahu melindungi orang ramai daripada kenaikan harga sambil menyemarakkan trend kenaikan gaji dan pelaburan yang berkembang," tambahnya.

"Saya mahu melaksanakan pakej ekonomi yang berani, disokong oleh bajet yang diperlukan, untuk melakukannya. Kita perlu melakukannya dengan segera."

Beliau tidak memberikan butiran lanjut.

Pengumuman itu dibuat ketika Kishida cuba menaikkan popularitinya yang semakin merosot serta kedudukannya dalam Parti Liberal Demokratik yang memerintah menjelang pemilihan kepimpinan parti tahun depan.

Dalam sidang akhbar itu, Kishida turut mengulangi gesaannya kepada China supaya menggugurkan larangan import makanan laut Jepun yang bermula pada Ogos selepas Jepun mula mengeluarkan air sisa dari loji nuklear Fukushima yang dilanda bencana.-AFP


(FOTO AFP)

Media Baharu