fb fb fb fb fb

Pisau 'Zombie' diharamkan: Seorang remaja maut ditikam di UK

Senjata tajam seperti pisau 'zombie' akan diharamkan

LONDON, 23 September - Seorang remaja lelaki meninggal dunia selepas ditikam di tenggara London hari ini.

Kejadian berlaku sebelum satu undang-undang baharu dikuatkuasakan di seluruh negara itu mulai esok untuk mengharamkan penggunaan pisau jenis "zombie" sebagai langkah mengurangkan jenayah melibatkan pisau di Britain.

Polis Metropolitan menemui remaja itu dalam keadaan cedera selepas menerima panggilan berlakunya gangguan di sebuah jalan di kawasan perumahan di Woolwich kira-kira pukul 5.35 petang waktu tempatan.

Kemudian remaja itu disahkan meninggal dunia.

Bagaimanapun, tiada butiran lanjut diberikan, tetapi kematian remaja itu menimbulkan kebimbangan apabila kesalahan melibatkan senjata tajam dalam kalangan remaja semakin meningkat.

Berdasarkan statistik, sebanyak 50,510 kesalahan dilaporkan melibatkan penggunaan pisau oleh polis di England dan Wales.

Angka itu direkodkan dalam tempoh 12 bulan sehingga Mac dan menunjukkan peningkatan empat peratus berbanding tahun sebelumnya.

Daripada jumlah pembunuhan yang direkodkan, 43 peratus melibatkan penggunaan senjata tajam seperti pisau.

Angka itu meningkat dua peratus berbanding 12 bulan sebelumnya.

Bermula Selasa, memiliki pisau "zombie" dan parang menjadi satu kesalahan di sisi undang-undang di negara itu.

Kerajaan juga menyediakan program amnesti dan ganjaran kepada mereka yang menyerahkan senjata-senjata tersebut secara sukarela.

Antara yang dilarang adalah panjang lebih 8 inci (20 cm) dan mempunyai tepi bergerigi yang kebiasaannya dikaitkan dengan kumpulan samseng.

Perdana Menteri, Keir Starmer, memperkenalkan inisiatif itu awal bulan untuk mengurangkan jenayah penggunaan pisau, yang disifatkan sebagai krisis negara. - AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN