fb fb fb fb fb

Pinda perlembagaan untuk orang Asli, Australia laksana referendum

FOTO REUTERS

SYDNEY, 30 Ogos- Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese akan mengumumkan tarikh referendum penting pada Rabu untuk meminda perlembagaan bagi mengiktiraf Orang Asli Australia, walaupun sokongan terhadap cadangan itu semakin berkurangan.

Rakyat Australia akan diminta mengundi sama ada mereka menyokong perubahan perlembagaan untuk memasukkan "Suara kepada Parlimen", sebuah jawatankuasa orang Asli untuk menasihati parlimen persekutuan mengenai perkara yang melibatkan orang Asli dan Pulau Selat Torres.

Sebarang pindaan perlembagaan di Australia memerlukan referendum kebangsaan.

Albanese dijangka mengumumkan tarikh itu dalam sidang akhbar dari Adelaide di Australia Selatan, dilihat sebagai negeri yang berpotensi berubah dalam referendum.

Australia tidak mempunyai perjanjian dengan orang Asli yang membentuk kira-kira 3.2% daripada hampir 26 juta penduduknya.

Masyarakat itu tidak disebut dalam perlembagaan walaupun telah mendiami tanah itu selama lebih 60,000 tahun.


(FOTO REUTERS)

Kerajaan telah mempertaruhkan modal politik yang besar untuk kejayaan referendum dengan sokongan kempen daripada jenama-jenama besar, badan korporat serta organisasi kebajikan.

Namun, perdebatan awam mengenai isu itu telah memecahbelahkan dan sokongan terhadap cadangan itu telah menurun dalam beberapa bulan kebelakangan ini, menurut tinjauan pendapat.

Penyokong berpendapat bahawa bersetuju dengan referendum itu akan membantu memperbaiki hubungan dengan masyarakat orang Asli sekali gus menyatukan negara dan dapat menjaga kebajikan komuniti itu secara menyeluruh termasuk aspek kesihatan, pendidikan, pekerjaan dan perumahan orang Asli.

Sesetengah penentang, bagaimanapun berpendapat tindakan itu akan memecahbelahkan rakyat Australia mengikut garis perkauman dan menyerahkan kuasa yang berlebihan kepada badan orang Asli.

Perubahan perlembagaan adalah sesuatu perkara yang sukar dicapai di Australia.

Referendum mesti memperoleh lebih daripada 50% undi seluruh negara dan sokongan daripada majoriti pengundi di sekurang-kurangnya empat daripada enam negeri.- REUTERS

Media Baharu