fb fb fb fb fb

Pihak berkuasa Thailand rampas 1.65 tan dadah

Foto hiasan

BANGKOK, 20 Januari- Pihak berkuasa Thailand berjaya merampas kira-kira 1.6 tan dadah jenis methamphetamine yang ditemui di sebuah gudang di Bangkok, hasil maklumat orang awam.

Menurut pihak berkuasa Thailand, dadah tersebut dihantar dari Afrika melalui India dan menuju ke Eropah, Amerika Syarikat atau Australia.

Empat lelaki ditahan di lokasi kejadian.

"Di gudang tersebut, pihak berkuasa menemui methamphetamine kristal seberat kira-kira 1.65 tan yang disembunyikan dalam gulungan kapas, menurut Setiausaha Agung Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik, Phanurat Lukboon.

"Ini adalah kali pertama kami merampas sejumlah besar methamphetamine seperti ini," kata Phanurat kepada AFP.

Bagaimanapun, nilai rampasan tersebut tidak didedahkan. Rampasan satu tan methamphetamine pada Mei tahun lalu dianggarkan bernilai AS$25 juta.

Thailand merupakan laluan transit utama bagi dadah haram yang dihasilkan di kawasan 'segitiga emas', di sempadan utara Thailand, Laos, dan Myanmar.

Myanmar merupakan sumber utama methamphetamine dan kebanyakannya dihasilkan di makmal haram di kawasan sempadan yang dikawal oleh kumpulan bersenjata etnik minoriti.-AFP

ROSLINA BINTI DIN