JAKARTA, 28 Januari- Seorang petani kopi maut dibaham oleh Harimau Sumatera di Kabupaten Lampung Barat, Indonesia pada 19 Januari lalu.
Zainudin, 28, dilaporkan sedang menuai biji kopi di ladangnya apabila diserang oleh harimau berkenaan.
Haiwan buas itu dikatakan telah mencabik-cabik tubuhnya, meninggalkannya dalam keadaan terpisah-pisah di hutan.
Operasi pencarian dimulakan selepas keluarga Zainudin membuat laporan mengenai kehilangannya pada 20 Januari lalu.
Ahli keluarga yang bimbang mengatakan Zainudin telah memberitahu mereka tentang perjalanan ke ladang, tetapi dia tidak kembali pada waktu petang.
Mayatnya ditemukan pada 21 Januari di hutan Taman Nasional Bukit Barisan Selatan, kawasan yang diketahui sebagai habitat Harimau Sumatera.
Ketua sub-distrik setempat, Ruspel Gultom berkata: "Mangsa bukan penduduk tempatan, dia berasal dari Jawa Tengah. Dia menguruskan ladang kopi keluarganya di sini."
"Kami menerima maklumat tentang lokasi mayat pada petang Selasa. Namun, pasukan pencari tidak berani mendekati lokasi kerana risau harimau masih bersembunyi di sekitar situ."
"Kami tidak menjalankan operasi mengeluarkan mayat pada waktu malam kerana keadaan yang berbahaya. Keputusan dibuat untuk menunggu hingga pagi Rabu, 22 Januari."
Wawan Sukawan, ketua bahagian pemuliharaan taman nasional, berkata mayat Zainudin "tidak lagi sempurna" apabila ditemui.
Katanya, "Lokasi itu berada dalam kawasan pergerakan harimau Sumatera, yang merupakan haiwan sangat teritorial. Kawasan jelajahnya boleh mencapai sehingga 100 kilometer."
Pasukan penyelamat mengumpulkan mayat Zainudin dan membawanya keluar dari hutan untuk diserahkan kepada keluarganya bagi urusan pengebumian.
Pihak berkuasa berkata ini adalah serangan harimau kelima di kawasan tersebut sejak 2024. Tahun lalu, terdapat empat serangan harimau yang mengakibatkan tiga kematian.
Pegawai taman nasional telah menasihati penduduk untuk menghindari memasuki kawasan Taman Nasional tersebut.
Taman Nasional Bukit Barisan Selatan adalah sebahagian daripada Tapak Warisan Dunia UNESCO, Hutan Hujan Tropika Sumatra.
Ia adalah habitat kepada pelbagai hidupan liar yang jarang ditemui, termasuk gajah Sumatera, badak Sumatera dan Harimau Sumatera.
Harimau Sumatera adalah subspesies harimau yang sangat terancam yang berasal dari pulau Sumatera, Indonesia. Dengan jumlah kurang daripada 400 individu yang tinggal di alam liar, Harimau Sumatera berdepan dengan ancaman dari kehilangan habitat, pemburuan haram, dan konflik manusia-hidupan liar.-REUTERS