JAKARTA, 28 Januari- Tiga pelajar sekolah maut dan seorang lagi masih hilang selepas dibawa arus deras ketika mandi manda di pantai Drini di Kabupaten Gunung Kidul, Indonesia pagi tadi.
Seramai 13 pelajar dari sebuah sekolah menengah di Jawa Timur didakwa mengabaikan amaran agar tidak berenang di perairan bergelora semasa lawatan sekolah.
Pasukan penyelamat segera ke lokasi kejadian selepas menerima laporan daripada guru-guru yang mengiringi pelajar tersebut.
Rakaman video amatur menunjukkan sukarelawan menaiki bot kayu menuju ke arah kanak-kanak itu, yang kelihatan dalam video sedang bergelut untuk kekal timbul di tengah ombak kuat.
Mereka berusaha keras menarik mangsa naik ke atas bot ketika ombak terus menghentam pantai.
Petugas perubatan memberikan bantuan pernafasan (CPR) kepada pelajar yang tidak sedarkan diri sebelum mereka dikejarkan ke Hospital Saptosari.
Pegawai penyelamat tempatan, Surisdiyanto, berkata pelajar-pelajar tersebut adalah antara 277 orang yang menyertai aktiviti pembelajaran luar kelas di pantai berkenaan.
Beliau berkata, “Setibanya di pantai, pelajar-pelajar terus berenang bersama. Tidak lama kemudian, mereka berada di kawasan tengah dan dihanyutkan ombak.
“Mungkin pelajar-pelajar ini tidak tahu berenang, jadi mereka ditarik ombak ke tengah laut. Daripada 13 pelajar yang dihanyutkan, hanya sembilan berjaya diselamatkan.”
Tujuh daripada pelajar yang terselamat dihantar ke Hospital Saptosari. Dua lagi yang berada dalam keadaan kritikal dipindahkan ke Hospital Umum Sardjito Yogyakarta untuk rawatan intensif.
Pegawai penyelamat berkata, tiga pelajar disahkan maut. Mereka dikenali sebagai Alfian Aditya Pratama, 13, Malfen Yusuf, 13, dan Bayhaki F, 13.
Seorang lagi pelajar, Rifky Yudha Prataman, 13, masih hilang.
Penyelaras penyelamat pantai, Marjono, berkata, “Mereka bermain di kawasan arus deras. Pegawai sering memberi amaran kepada pelancong agar tidak bermain di kawasan ini, tetapi sering diabaikan.
“Pelancong dinasihatkan agar mematuhi arahan dan mengendahkan amaran. Jangan cuai bermain di laut, terutama di kawasan arus deras.”
Stesen Meteorologi Yogyakarta memberi amaran mengenai hujan lebat dan ribut petir yang melanda wilayah Yogyakarta, termasuk Kabupaten Gunung Kidul, sehingga 28 Januari.
Dalam ramalan pada 26 Januari, agensi cuaca menyatakan, “Suhu permukaan laut yang hangat di perairan Jawa menunjukkan potensi peningkatan wap air yang boleh meningkatkan aktiviti pembentukan awan hujan.
“Penduduk tempatan disarankan berjaga-jaga terhadap cuaca ekstrem yang berpotensi berlaku dalam tempoh tiga hari akan datang.”
Pada 19 Disember, seorang pelajar universiti, Merlin Septiana, 18, dihanyutkan ombak ketika berswafoto di sebuah pantai di Indonesia.
Dia tiba bersama rakannya untuk mengambil gambar di Pantai Semeti, Kabupaten Lombok Tengah, tetapi dipercayai dihanyutkan ombak ketika memakai 'headphone' yang mungkin menyebabkannya tidak mendengar bunyi ombak.
Dia dilihat berpaut pada batu besar ketika ombak menghentamnya, tetapi akhirnya terlepas pegangan dan hilang di bawa arus yang deras.
Pasukan penyelamat menemui mayat Merlin beberapa jam kemudian, terdampar di batuan dalam keadaan tidak bernyawa.-REUTERS