NEW DELHI, 22 Julai – Sebuah pesawat Airbus A320 milik Air India tergelincir dari landasan ketika mendarat dalam hujan lebat di Lapangan Terbang Antarabangsa Mumbai dan menyebabkan kerosakan pada bahagian bawah salah satu enjinnya.
Insiden tersebut turut menyebabkan landasan utama lapangan terbang itu ditutup sementara.
Air India menerusi kenyataan memaklumkan semua penumpang dan anak kapal telah selamat keluar dari pesawat, namun tidak mengulas sama ada terdapat sebarang kecederaan.
Pesawat penerbangan AI2744, berlepas dari Kochi di negeri Kerala menuju ke Mumbai.
Air India memaklumkan bahawa pesawat itu kini telah digantung operasi untuk pemeriksaan teknikal selanjutnya.
Sementara itu, Lapangan Terbang Mumbai mengesahkan insiden itu sebagai 'runway excursion' dan melaporkan terdapat 'kerosakan kecil' pada landasan utama.
Bagi memastikan operasi tidak terjejas, landasan kedua telah diaktifkan sementara kerja-kerja pemeriksaan dan pembaikan dijalankan.
Dalam pada itu, menurut laporan Times of India yang memetik sumber dalaman, tiga tayar pesawat meletup sejurus selepas pendaratan.
Rakaman televisyen yang disiarkan oleh NDTV dan India Today turut menunjukkan kerosakan pada lapisan luar enjin, termasuk beberapa rekahan yang jelas kelihatan.
Insiden itu berlaku ketika Air India sedang berdepan pengawasan yang semakin ketat, susulan nahas pesawat Boeing 787 Dreamliner miliknya di Ahmedabad bulan lalu yang meragut 260 nyawa.
Bulan ini, Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA) turut mengumumkan rancangan untuk menyiasat syarikat penerbangan ekonomi Air India Express, selepas laporan Reuters mendakwa syarikat itu gagal mematuhi arahan menukar komponen enjin Airbus A320 tepat pada masanya dan memalsukan rekod pematuhan.- REUTERS