fb fb fb fb fb

Guterres sifatkan kehidupan penduduk Gaza diambang kehancuran sepenuhnya

Foto Fail REUTERS

NEW YORK, 22 Julai – Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, menyatakan rasa terkejut terhadap kemerosotan mendadak keadaan kemanusiaan di Gaza, yang disifatkannya sebagai kehidupan terakhir penduduk yang kini diambang kehancuran sepenuhnya.

Jurucakap PBB, Stephane Dujarric memaklumkan bahawa Guterres melahirkan rasa kesal terhadap peningkatan laporan berkaitan kanak-kanak dan orang dewasa yang mengalami masalah kekurangan zat makanan.

“Beliau kesal dengan peningkatan laporan mengenai kanak-kanak dan orang dewasa yang mengalami kekurangan zat makanan", katanya menerusi satu kenyataan.

Guterres turut menegaskan bahawa Israel mempunyai kewajipan terhadap undang-undang antarabangsa untuk membenar dan memudahkan penghantaran bantuan kemanusiaan oleh PBB serta organisasi lain.

“Israel wajib membenarkan dan memudahkan, dengan segala kaedah yang ada, bantuan kemanusiaan yang disampaikan oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu dan agensi kemanusiaan lain,” tambah Dujarric.

Kenyataan itu dikeluarkan ketika kebimbangan global yang semakin meningkat terhadap krisis kemanusiaan di Gaza, konflik yang berpanjangan telah menyebabkan sistem kesihatan, bantuan logistik dan keperluan asas penduduk musnah sepenuhnya.-REUTERS

ROSLINA BINTI DIN