PREAH VIHEAR, 30 Julai - Perwakilan tentera asing dari negara kuasa besar dan negara anggota ASEAN mula memeriksa kawasan terkesan akibat pertempuran yang tercetus antara pasukan Thailand dan Kemboja baru-baru ini.
Turut hadir, diplomat dari 13 buah negara termasuk, Amerika Syarikat dan China.
Ke semua mereka hadir sebagai pemerhati gencatan senjata yang dimeterai antara Bangkok dan Phnom Penh, dua hari lalu di Kuala Lumpur.
Antara kawasan yang dilawati, pusat pemeriksaan sempadan An Ses di wilayah Preah Vihear, Kemboja, bersempadan dengan wilayah Ubon Ratchathani, Thailand.
Pemerhati asing diberi taklimat oleh Jeneral Tentera Kemboja, Chan Sopheaktra, di hadapan tentera Thai yang sebelum ini menyeberang ke wilayah Kemboja.
Tentera Thailand sebelum itu mendakwa tentera Kemboja melanggar perjanjian gencatan senjata di tiga lokasi berasingan di sepanjang sempadan yang menjadi pertikaian.
Dakwaan itu datang kurang dua hari selepas kedua-dua kerajaan bersetuju dengan gencatan senjata yang diusahakan di Malaysia, yang berkuat kuasa pada tengah malam pada Isnin lepas
Pertempuran sengit selama lima hari mengorbankan sekurang-kurangnya 43 orang, menyebabkan lebih 300,000 penduduk dari kedua-dua belah pihak kehilangan tempat tinggal.-REUTERS