fb fb fb fb fb

Pertukaran besar-besaran tahanan perang Yaman bermula

(FOTO AFP)

SANAA, 14 April- Hampir 900 banduan akan dibebaskan menerusi program pertukaran tahanan perang Yaman, hasil rundingan antara Arab Saudi dengan kumpulan pemberontgak Huthi yang disokong Iran.

Penasihat Media Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC), Jessica Moussan mengesahkan operasi tiga hari itu bermula hari ini.

“Penerbangan pertama dari Sanaa telah berlepas,” katanya.

Lebih 300 banduan diterbangkan di antara Sanaa dengan bandar Aden hari ini. Tahanan juga akan dibebaskan di Marib dan Mokha, dan di Riyadh dan Abha di negara jiran Arab Saudi.

Pertukaran itu adalah bukti lanjut mengenai kejayaan meredakan ketegangan selepas rundingan gencatan senjata diadakan di Sanaa minggu ini antara pemberontak Huthi dengan delegasi Arab Saudi, sekutu tentera utama kerajaan.

Huthi yang disokong Iran menguasai Sanaa sejak 2014, menggulingkan kerajaan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dan mencetuskan campur tangan tentera yang diketuai Arab Saudi pada Mac berikutnya.

Beratus-ratus ribu orang telah terbunuh secara langsung dan tidak langsung dalam perang yang mencetuskan salah satu krisis kemanusiaan terburuk di dunia, menurut anggaran Pertubuhan Bangsa Bersatu.

Bulan lalu, Arab Saudi dan Iran bersetuju memulihkan semula hubungan rasmi yang terputus sejak tujuh tahun lalu.

Sebagai sebahagian daripada usaha mengurangkan ketegangan, sembilan negara Arab dijadualkan bertemu di Jeddah, Arab Saudi hari ini untuk membincangkan status penggantungan Syria daripada Liga Arab yang telah dikuatkuasakan slama 12 tahun, berikutan perang saudara di negara bergolak itu. -AFP


(Pertukaran besar-besaran tahanan perang Yaman bermula/AFP)

 

Media Baharu