fb fb fb fb fb

Kes rogol kanak-kanak: Mahkamah Rayuan tambah tempoh penjara

(Anggota polis Maghribi berkawal di luar tribunal Rabat pada 13 April, semasa perbicaraan tiga
lelaki yang dituduh merogol seorang gadis berusia 11 tahun berulang kali/AFP)

RABAT, 14 April - Mahkamah Maghribi meningkatkan secara mendadak tempoh hukuman penjara terhadap tiga lelaki yang disabitkan kesalahan merogol berulang kali seorang kanak-kanak berusia 11 tahun.

Mahkamah Rayuan di sini menjatuhi hukuman penjara 20 tahun terhadap seorang daripada tertuduh manakala dua lagi menerima hukuman penjara 10 tahun.

Peguam mangsa yang kini berusia 12 tahun, telah membuat rayuan selepas Mahkamah Rendah menjatuhi hukuman penjara dua tahun terhadap seorang daripada tiga defendan dan yang lain masing-masing 18 bulan.

Mahkamah Rayuan juga memerintahkan ketiga-tiga lelaki itu membayar ganti rugi berjumlah 140,000 dirham (hampir US$14,000), hampir tiga kali ganda berbanding 50,000 dirham yang diperintahkan oleh Mahkamah Rendah.

“Kami berpuas hati dengan keputusan yang memberikan keadilan kepada mangsa,” kata peguam Abdelfattah Zahrach selepas tamat perbicaraan.

“Namun kami tidak faham mengapa dua daripada tertuduh hanya dijatuhi hukuman 10 tahun,” katanya sambil menambah bahawa beliau sedang mempertimbangkan rayuan lanjut ke Mahkamah Pembatalan Hukuman “selepas berunding dengan keluarga kanak-kanak itu”.

Mahkamah telah mendengar keterangan daripada mangsa dan seorang saksi, juga seorang kanak-kanak, secara tertutup selepas pihak pendakwaan memintanya atas faktor perlindungan kanak-kanak bawah umur.

Mangsa yang kelihatan lemah ditemani nenek dan bapanya.

Defendan menghadapi pertuduhan yang sama seperti dalam perbicaraan asal "penyalahgunaan kanak-kanak bawah umur" dan "serangan tidak senonoh ke atas kanak-kanak bawah umur dengan keganasan". -AFP

(Anggota polis Maghribi berkawal di luar tribunal Rabat/AFP)

Media Baharu