fb fb fb fb fb

Perdana Menteri Mongolia letak jawatan susulan protes antirasuah

Perdana Menteri Mongolia, Luvsannamsrain Oyun-Erdene meletakkan jawatan susulan protes antirasuah / Foto AFP

ULAANBAATAR, 3 Jun – Perdana Menteri Mongolia, Luvsannamsrain Oyun-Erdene, meletak jawatan pada Selasa selepas beberapa minggu protes antirasuah yang tercetus akibat kekecewaan rakyat terhadap gejala rasuah dalam kalangan elit negara berkenaan.

Parlimen Mongolia mengumumkan bahawa Oyun-Erdene kehilangan undi percaya dalam satu undian rahsia, dengan hanya 44 ahli parlimen menyokong beliau, manakala 38 menolak – tidak mencapai jumlah minimum iaitu 64 undi diperlukan daripada 126 kerusi.

“Satu penghormatan untuk saya berkhidmat kepada negara dalam masa sukar, termasuk pandemik, perang dan tekanan tarif,” kata Oyun-Erdene selepas keputusan diumumkan.

Beliau akan kekal sebagai perdana menteri sementara sehingga pengganti dilantik dalam tempoh 30 hari.

Protes yang berlangsung di Ulaanbaatar sejak bulan lalu didorong oleh kemarahan orang ramai terhadap gaya hidup mewah keluarga perdana menteri, terutamanya anaknya yang didakwa mempamerkan hadiah mahal di media sosial.

Puluhan anak muda berhimpun di Dataran Parlimen dengan plakad bertulis “Letak Jawatan Itu Mudah” – slogan popular dalam tunjuk perasaan tersebut.

"Golongan muda telah mencapai sesuatu yang besar. Saya sangat bangga dengan masa depan Mongolia," kata Unur Sukhbaatar, penyelidik ekonomi politik berusia 37 tahun.

Kerajaan Mongolia kini memasuki fasa ketidakstabilan politik. Sebelum ini, parti Oyun-Erdene, Parti Rakyat Mongolia (MPP), memerintah melalui gabungan tiga parti.

Namun, MPP telah menyingkirkan Parti Demokratik (DP) – rakan gabungan kedua terbesar – bulan lalu selepas beberapa wakil mudanya menyokong seruan perletakan jawatan perdana menteri.

Dalam undian percaya, ahli parlimen DP bertindak keluar dewan sebagai bantahan.

Penganalisis politik, Munkhnaran Bayarlkhagva berkata, tindakan rakyat menunjukkan "legitimasi sistem politik Mongolia kini sedang diuji."

“Generasi Z Mongolia membuktikan mereka matang dan bersedia menjadi pengundi aktif dan bertanggungjawab,” katanya.

Mongolia, sebuah negara demokrasi pasca-komunis yang terletak di antara China dan Rusia, telah lama bergelut dengan isu rasuah. Sejak Oyun-Erdene mula memimpin pada 2021, kedudukan negara dalam Indeks Persepsi Rasuah oleh Transparency International telah merosot.

Julian Dierkes dari Universiti Mannheim menjangkakan tiada perubahan besar dari segi dasar akan berlaku selepas perletakan jawatan ini, namun berpendapat ia mungkin membuka jalan kepada kembalinya politik berpuak dalam MPP.

“Demonstrasi ini satu peringatan kuat kepada ahli politik untuk lebih telus dan bertanggungjawab,” kata Erchissaran Ganbold, pemilik perniagaan kecil berusia 28 tahun.-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD