TEHRAN, 3 Jun – Beberapa negara Barat telah menyalahgunakan organisasi antarabangsa seperti Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) untuk mencapai agenda politik, susulan laporan terbaharu agensi itu mengenai program nuklear Iran.
Jurucakap Kementerian Luar Iran Esmaeil Baghaei berkata, berdasarkan laporan suku tahunannya pada Sabtu lalu, IAEA melaporkan simpanan uranium Iran yang diperkaya sehingga 60% kini mencecah 408.6 kilogram setakat 17 Mei lalu.
Ia meningkat ketara daripada 274.8 kilogram pada Februari.
Baghaei, ketika ditanya dalam sidang media mingguan, menyifatkan laporan tersebut sebagai berulang dan dibesar-besarkan.
"Beberapa negara Barat telah lama menyalahgunakan organisasi antarabangsa dan mekanisme pelbagai hala seperti IAEA untuk tujuan politik mereka sendiri.
"Kandungan laporan itu kebanyakannya berulang, dan beberapa perkara teknikal telah dibesar-besarkan. Kami tidak ragu laporan ini disiapkan di bawah pengaruh dan tekanan dari negara-negara tertentu," kata Baghaei.
Mengulas dakwaan lama bahawa Iran sedang membangunkan senjata nuklear, Baghaei menegaskan bahawa tuduhan tersebut tidak berasas dan digunakan oleh Israel untuk mempengaruhi dasar luar Amerika Syarikat.
"Jika diteliti laporan berkaitan isu nuklear Iran, didapati sejak 1984, pegawai Israel telah berulang kali mendakwa Iran akan memiliki bom nuklear dalam masa enam bulan.
"Kini sudah 40 tahun. Israel menggunakan tuduhan terhadap program nuklear aman Iran sebagai alasan untuk memanipulasi dasar luar Amerika di rantau ini," katanya lagi.
Iran menegaskan bahawa program nuklearnya bertujuan digunakan secara aman, termasuk tenaga dan perubatan dan menolak sebarang niat untuk membina senjata nuklear.
Ketegangan mengenai isu tersebut terus menjadi titik panas dalam hubungan antara Iran dan negara Barat, khususnya Amerika Syarikat dan Israel. -REUTERS