fb fb fb fb fb

Perancis larang bunga api menjelang Hari Bastille

(FOTO /www.timeout.com)

PARIS, 10 Julai - Kerajaan Perancis mengharamkan penjualan bunga api menjelang festival 'Hari Bastille' yang bakal disambut pada Jumaat ini.

Pengharaman tersebut turut menyentuh pemilikan dan pengangkutan bagi bahan tersebut.

Tindakan tersebut dikuatkuasakan oleh kerajaan Perancis susulan rusuhan yang tercetus akibat pembunuhan seorang remaja lelaki, Nahel Merzouk oleh anggota polis di Nanterre.

Larangan tersebut bagaimana pun tidak terpakai semasa pertunjukan bunga api yang dianjurkan oleh pihak berkuasa tempatan.

"Bagi mengelak risiko dan gangguan serius terhadap ketenteraman awam ketika berlangsungnya festival 14 Julai, penjualan, pembawaan, pengangkutan dan penggunaan barang piroteknik dan bunga api akan dilarang di semua wilayah sehingga 15 Julai", menurut pengisytiharan yang diterbitkan dalam warta rasmi negara berkenaan.

Sementara itu, Perdana Menteri Perancis, Elisabeth Borne berkata pasukan keselamatan akan turut dikerah bagi memastikan keselamatan negara bagi tempoh dua hari itu.

Elisabeth turut berkata rakyat Perancis bimbang dengan dengan kemungkinan berlakunya insiden baharu ketika berlangsungnya sambutan 'Hari Bastille'.

Lebih 3,700 orang telah ditahan polis berhubung protes yang berlaku baru-baru ini, termasuk 1,160 kanak-kanak bawah umur.

Hari Bastille menandakan permulaan Revolusi Perancis, yang bermula lebih 200 tahun lalu.

Bunga api merupakan senjata popular yang sentiasa digunakan dalam rusuhan dan keganasan di beberapa buah bandar di Perancis selama hampir 20 tahun.

Malah, pada sambutan 'Hari Bastille', anak-anak muda sering membaling mercun bagi mengganggu sambutan.-bbc.com



(FOTO https://www.bbc.com/)

Media Baharu