fb fb fb fb fb

Biden sokong bidaan Sweden sertai NATO

(Presiden Joe Biden bertemu Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan
pada sidang kemuncak NATO di Madrid, Sepanyol/ REUTERS)

ANKARA, 10 Julai- Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan pada Ahad membincangkan bidaan Sweden menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) bersama rakan sejawatannya dari Amerika Syarikat (AS) Joe Biden melalui panggilan telefon menjelang sidang kemuncak perikatan itu minggu ini.

Biden, bagi pihaknya menyampaikan kepada Erdogan hasratnya untuk mengalu-alukan Sweden ke dalam NATO secepat mungkin, menurut kenyataan Rumah Putih, lapor Xinhua.

Sweden dan Finland memohon untuk menyertai NATO tahun lepas tetapi mendapat bantahan Turkiye atas alasan kedua-dua negara itu melindungi ahli Parti Pekerja Kurdistan (PKK) yang diharamkan dan pergerakan Gulen.

Turkiye akhirnya menarik balik bantahannya terhadap keanggotaan Finland dalam NATO awal tahun ini selepas Helsinki mengambil apa yang disifatkan Ankara "langkah konkrit" terhadap organisasi itu. Pada April, Finland menjadi negara anggota ke-31 NATO.

Kedua-dua pemimpin itu turut membincangkan kedudukan Ukraine dalam NATO, penghantaran jet tempur F-16 dan usaha Turkiye untuk menyertai EU, menurut kenyataan pejabat Erdogan.


(Foto Fail: Bendera NATO/ REUTERS)

Semasa panggilan telefon, Erdogan menyatakan "Sweden telah mengambil beberapa langkah ke arah yang betul" ke arah pengesahan bidaan NATOnya dengan membuat perubahan dalam perundangan antikeganasannya, menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, pemimpin Turkiye itu berkata langkah berkenaan "dibatalkan" kerana penyokong PKK "terus mengadakan demonstrasi secara bebas di negara itu untuk menyokong keganasan".

Erdogan juga menegaskan bahawa adalah tidak betul untuk mengaitkan pembelian F-16 Turkiye dari Amerika Syarikat dengan bidaan NATO Sweden, merujuk kepada beberapa bantahan daripada Kongres AS terhadap permintaan Ankara untuk pembelian F-16 berhubung veto keanggotaan NATO Sweden.

Kedua-dua presiden juga bersetuju untuk bersemuka bagi membincangkan hubungan dua hala dan isu serantau secara terperinci pada sidang kemuncak NATO di ibu negara Lithuania, Vilnius pada 11-12 Julai, menurut kenyataan itu.

Mengenai bidaan EU oleh Turkiye, Erdogan memberitahu Biden bahawa Ankara "amat berprinsip dan jujur" tentang keanggotaan EU, merayu untuk menghidupkan semula proses permohonannya dan berharap mendapat mesej sokongan yang jelas dan kuat daripada negara terkemuka EU pada Sidang Kemuncak Vilnius yang akan datang. - BERNAMA/XINHUA

Media Baharu