fb fb fb fb fb

Perancis lapor 1,040 tindakan anti-Yahudi sejak 7 Oktober

Foto Hiasan/ AFP

PARIS, 6 November- Perancis merekodkan lebih 1,000 tindakan anti-Yahudi sejak serangan 7 Oktober oleh kumpulan pejuang Hamas ke atas Israel, kata Menteri Dalam Negeri, Gerald Darmanin, semalam.

"Jumlah tindakan anti-Yahudi meningkat secara mendadak," katanya kepada stesen televisyen, France 2, sambil menambah, 486 orang ditangkap atas kesalahan sedemikian termasuk 102 warga asing.

Kumpulan pejuang Hamas menyerang Israel pada 7 Oktober, mendorong Israel melancarkan serangan balas tanpa henti ke atas Semenanjung Gaza yang terkepung dalam pertempurannya untuk memusnahkan Hamas.

Tindakan agresif Israel itu meratakan seluruh blok bandar dan membunuh lebih 9,700 orang yang kebanyakkannya wanita dan kanak-kanak, menurut Kementerian Kesihatan yang dikendalikan Hamas.

Dianggarkan lebih 500,000 penduduk Yahudi tinggal di Perancis, komuniti terbesar di Eropah dan ketiga terbesar di dunia, selepas Israel dan Amerika Syarikat (AS).

Ketua Polis Paris, Laurent Nunez berkata sebanyak 257 perbuatan anti-Yahudi dikesan di wilayah Paris semalam yang membawa kepada 90 penahanan.

Katanya, tiada profil lazim bagi mereka yang ditahan. Mereka terdiri daripada 'golongan belia yang mengatakan perkara yang sangat serius' kepada orang yang terbabit dalam perjuangan pro-Palestin.

Dalam pada itu, pemimpin Parti Sosialis, Olivier Faure, semalam menggesa semua kuasa politik bergerak menentang gerakan anti-Yahudi.

Ketika mengulas kepada Radio J, beliau mencadangkan demonstrasi diadakan dalam tempoh terdekat di Place de la Republique, lokasi biasa untuk perhimpunan di tengah bandaraya Paris.

Bagaimanapun, inisiatifnya itu lantas mendapat kecaman serta-merta daripada ahli politik berhaluan kiri kerana kegagalannya menghalang kumpulan sayap kanan, Perhimpunan Nasional diketuai Marine Le Pen, mengambil bahagian.

Dalam perkembangan lain, pendakwa raya Paris sudah menyiasat tindakan melakukan vandalisme terhadap berpuluh-puluh grafiti lambang Yahudi, Stars of David pada bangunan di sekitar bandar dan pinggir bandarnya minggu lalu.

Kesatuan Pelajar Yahudi Perancis berkata, lambang berkenaan diubah suai seperti mana Yahudi dipaksa memakai bintang itu oleh rejim Nazi di Jerman sebelum ini.

Di pusat bandar Lyon, pendakwa raya berkata pada hujung minggu ini mereka mengesyaki gerakan anti-Yahudi mungkin mendalangi serangan ke atas seorang wanita muda Yahudi, yang ditikam di rumahnya.

Polis menyifatkan serangan itu sebagai cubaan membunuh, kata mereka, sambil menambah nyawa wanita itu tidak dalam bahaya dan tiada tangkapan dibuat.

Datuk Bandar di bandar timur Besancon semalam mengecam apa yang dikatakannya sebagai gelombang baru grafiti anti-Yahudi di sana, selepas kumpulan pertama dikesan pada 31 Oktober.

"Kami menyaksikan peningkatan keganasan dalam kandungan mesej," kata Anne Vignot dalam satu kenyataan, sambil menegaskan perbuatan sedemikian boleh didakwa. - AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI