BAGHDAD, 6 November- Setiausaha Negara AS, Antony Blinken membuat lawatan mengejut ke Baghdad dan bertemu dengan Perdana Menteri Iraq, Mohamed Shia al-Sudani.
Menurut pejabat Perdana Menteri, kedua-duanya dijangka membincangkan peningkatan risiko dalam perang Israel dengan Hamas.
Lawatan Blinken yang singgah sebentar di Cyprus untuk membincangkan kemungkinan laluan bantuan maritim ke Gaza tidak diumumkan lebih awal atas sebab keselamatan.
Sejak permulaan perang Israel-Hamas, beberapa siri serangan roket dan dron telah menyasarkan pangkalan tentera yang menempatkan tentera AS di Iraq.
“Saya menegaskan bahawa serangan atau ancaman yang datang daripada pihak bersekutu dengan Iran adalah tidak boleh diterima sama sekali,” kata Blinken
"Kami akan mengambil setiap langkah yang perlu untuk melindungi rakyat kami," tambahnya semasa pertemuan dengan Sudani.
Washington menuduh Iran terlibat dalam serangan yang turut menyasarkan tentera Amerika di Syria.
Kebanyakan serangan telah dituntut oleh kumpulan yang dikenali sebagai "Perlawanan Islam di Iraq", menurut saluran Telegram yang bergabung dengan puak Iraq yang dekat dengan Tehran.
Angka yang dikeluarkan oleh Pentagon pada Jumaat menunjukkan bahawa antara 17 Oktober dan 3 November terdapat 17 serangan di Iraq dan 12 di Syria.
Kira-kira 2,500 tentera Amerika dikerahkan di Iraq, ditugaskan untuk menasihati rakan sejawatan mereka dari Iraq dalam memerangi kumpulan Negara Islam.
Sudani mengecam serangan itu dan berkata siasatan sedang dijalankan untuk menentukan siapa pelakunya.
Perdana Menteri Iraq telah berulang kali menggesa gencatan senjata di Semenanjung Gaza dan menyifatkan operasi ketenteraan Israel di wilayah pesisir pantai sebagai "pembunuhan beramai-ramai" terhadap rakyat Palestin.
Semasa pertemuannya dengan Blinken beliau mengulangi gesaan untuk gencatan senjata dan menunjukkan “kepentingan untuk membendung krisis dan mencegah penyebarannya”, kata kenyataan pejabatnya.
Iraq tidak mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara dan kerajaannya rapat dengan Iran, yang menyokong Hamas.
Pada petang Ahad, beribu-ribu penyokong ulama Syiah berpengaruh Moqtada Sadr berkumpul di Dataran Tahrir Baghdad, mengibarkan bendera Iraq dan Palestin, kata seorang wartawan AFP.
Ada yang membakar bendera Israel dan AS semasa demonstrasi, disusuli gesaan daripada gerakan Sadr di X, untuk "membantah secara aman" terhadap lawatan Blinken.
Blinken terlibat dalam lawatan ke Timur Tengah, telah melawat Israel pada hari Jumaat diikuti Jordan pada hari Sabtu untuk perbincangan dengan Raja Abdullah II dan di mana beliau menghadiri mesyuarat menteri dengan lima rakan sejawatannya dari Arab.
Semalam, Blinken pergi ke Tebing Barat yang diduduki untuk bertemu Presiden Palestin, Mahmud Abbas dan singgah ke Cyprus untuk bertemu Presiden dan Menteri Luar Negeri itu.- AFP