fb fb fb fb fb

Pentagon salur tambahan AS$300 juta kepada Ukraine

FOTO AFP

WASHINGTON, 2 April- Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat mengumumkan pada Jumaat bahawa ia memperuntukkan AS$300 juta dalam bentuk "bantuan keselamatan" kepada Ukraine untuk meningkatkan keupayaan pertahanan negara itu, iaitu tambahan sebanyak AS$1.6 bilion sejak Rusia menyerang pada akhir Februari.

Pakej itu termasuk sistem roket berpandukan laser, dron, peluru, peranti penglihatan malam, sistem komunikasi selamat taktikal, bekalan perubatan dan alat ganti.

“Keputusan ini menggariskan komitmen tidak berbelah bahagi Amerika Syarikat terhadap kedaulatan dan integriti wilayah Ukraine bagi menyokong usaha heroiknya untuk menangkis perang oleh Rusia,” kata jurucakap Pentagon John Kirby dalam satu kenyataan.

Pada Rabu, Presiden AS Joe Biden dan Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky membincangkan "keupayaan tambahan" untuk membantu tentera Ukraine.

Pada pertengahan Mac, Kongres meluluskan rang undang-undang pembiayaan yang termasuk AS$13.6 bilion untuk bantuan kemanusiaan dan ketenteraan kepada Ukraine dan sekutu NATO di Eropah timur.

Tidak lama selepas itu, Biden mengumumkan AS$1 bilion bantuan keselamatan baharu kepada Ukraine.

Sebilangan besar peralatan ketenteraan yang diberikan oleh Amerika Syarikat kepada Ukraine adalah daripada simpanan mereka sendiri.- AFP


(Jurucakap Pentagon John Kirby / AFP)

Media Baharu