BANGKOK, 12 September - Seorang penjaga zoo maut selepas diserang sekumpulan singa di Safari World Bangkok, Thailand pada Rabu.
Serangan itu sekali gus menimbulkan persoalan mengenai tahap keselamatan serta pemilikan haiwan berkenaan.
Mangsa dipercayai diserang enam hingga tujuh ekor haiwan berkenaan sebaik keluar dari kenderaannya.
Safari World mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan pihaknya akan segera menilai semula serta memperketat langkah keselamatan bagi mengelakkan insiden berulang.
Seorang saksi, Dr Tavatchai Kanchanarin berkata, mangsa dilihat berdiri sendirian dengan membelakangkan singa sebelum seekor daripadanya menerkam dari belakang tanpa sebarang jeritan.
Mangsa yang berkhidmat lebih 30 tahun bertugas memberi makan haiwan itu, disifatkan sebagai seorang yang baik hati oleh rakan sekerja.
Badan hak asasi haiwan PETA pula menggesa Safari World memindahkan semua singa terlibat ke pusat perlindungan khas kerana haiwan itu hanya bertindak mengikut naluri semula jadi. - AFP