fb fb fb fb fb

'Peningkatan dramatik jenayah perang di Myanmar - PBB

(Foto fail)

GENEVA, 8 Ogos- Pasukan penyiasat Pertubuhan Banhsa Bersatu telah mengumpul bukti kukuh jenayah perang yang semakin meningkat di Myanmar, termasuk hukuman mati beramai-ramai dan keganasan seksual, dan sedang menyiapkan fail kes untuk membawa pelaku ke muka pengadilan.

Myanmar dilanda keganasan berdarah sejak rampasan kuasa menggulingkan kerajaan pimpinan Aung San Suu Kyi pada Februari 2021.

Mekanisme Penyiasatan Bebas untuk Myanmar (IIMM) PBB berkata ia mempunyai bukti bahawa tentera Myanmar dan militia gabungan "melakukan jenayah perang yang semakin kerap dan biadab".

Ia antara lain merujuk kepada pengeboman udara, pembakaran kampung dan pembunuhan beramai-ramai orang awam dan pejuang yang ditahan, serta penyeksaan dan keganasan seksual yang mengerikan.

Pasukan penyiasat memberi amaran dalam laporan tahunannya bahawa "bilangan insiden yang menunjukkan ciri jenayah antarabangsa yang serius" telah meningkat sejak rampasan kuasa.

"Setiap kehilangan nyawa di Myanmar adalah tragis, tetapi kemusnahan yang berlaku kepada seluruh masyarakat melalui pengeboman udara dan pembakaran kampung amat mengejutkan," kata ketua Mekanisme, Nicholas Koumjian dalam kenyataan itu.

"Bukti kami menunjukkan peningkatan dramatik dalam jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di negara ini, dengan serangan yang meluas dan sistematik terhadap orang awam, dan kami sedang menyiapkan fail kes yang boleh digunakan oleh mahkamah untuk menahan individu terbabit."

(Tentera Myanmar membuat rondaan semasa perayaan air Tahun Baharu Myanmar, yang
dikenali sebagai Thingyan, di Yangon pada 13 April 2023/Fail AFP)

IIMM telah ditubuhkan oleh Majlis Hak Asasi Manusia PBB pada 2018 untuk mengumpul bukti jenayah antarabangsa yang paling serius dan menyediakan fail untuk pendakwaan jenayah.

Walaupun pasukan itu tidak pernah dibenarkan melawat Myanmar, ia mendapatkan maklumat daripada lebih 700 sumber dan telah mengumpul "lebih 23 juta item maklumat", termasuk kenyataan saksi, dokumen, gambar, video, bukti forensik dan imejan satelit.

Penyiasat berkata mereka sedang mencari "bukti kaitan" yang menunjukkan peranan individu tertentu, terutamanya pegawai peringkat tinggi.

Laporan IIMM menjelaskan bahawa komander tentera mempunyai kewajipan bawah undang-undang antarabangsa untuk mencegah dan menghukum jenayah perang yang dilakukan oleh anggota bawah perintah mereka.

"Berulang kali mengabaikan jenayah sebegitu mungkin menunjukkan bahawa pihak atasan berniat untuk melakukan jenayah ini," kata laporan itu.

Ia menyerlahkan bukti penggunaan askar kanak-kanak oleh "pelbagai pelakon bersenjata", dan berkata ia melihat "lebih banyak bukti mengenai penyeksaan, keganasan seksual dan bentuk penganiayaan teruk lain di pelbagai kemudahan tahanan".

Bukti menunjukkan bahawa jenayah seperti itu "dilakukan dengan kezaliman dan kemudaratan tahap tertinggi kepada mangsa, termasuk rogol dengan objek, penghinaan, pencacatan, rogol berkumpulan atau bersiri dan perhambaan seksual," kata laporan itu.

IIMM juga sedang menyiasat keganasan seksual yang berleluasa semasa penindasan terhadap minoriti Rohingya pada 2017 yang mengakibatkan pemindahan hampir sejuta orang. -AFP

Media Baharu