(FOTO HIASAN/ REUTERS)
WASHINGTON, 19 Mei- Lima pengguna dan pencipta kandungan di TikTok, sepakat memfailkan saman di Mahkamah Daerah Amerika Syarikat (AS) di Montana, bagi membatalkan larangan baharu negeri itu ke atas aplikasi milik China itu.
Ia susulan tindakan pengharaman TikTok di negeri itu berkuatkuasa 1 Januari 2024, melalui undang-undang yang ditandatangani Gabenor Montana, Greg Gianforte, Rabu lalu.
Tindakan saman dibuat lima pengguna TikTok itu adalah usaha untuk menyekat undang-undang berkenaan, di mana ia menjadi kesalahan bagi aplikasi Alphabet Inc, Google dan Apple Inc untuk menawarkan TikTok di negeri itu.
Mereka menamakan Peguam Negara Montana, Austin Knudsen, sebagai defendan dalam tuntutan saman berkenaan.
Dalam tuntutan saman itu, mereka berhujah bahawa Montana mahu melaksanakan kuasa ke atas keselamatan negara, yang tidak dimiliki negeri itu dan mahu mengekang kebebasan bersuara, yang juga bukan dalam bidang kuasanya.
Mereka turut menambah dalam saman itu bahawa pelaksanaan undang-undang terbabit melanggar hak Pindaan Pertama.
"Montana tidak boleh mengharamkan penduduknya dari memuat naik atau melayari TikTok kerana pemiliknya atau idea yang diterbitkannya," menurut tuntutan mahkamah itu.
Saman itu diserahkan kepada Hakim Donald Molloy. Knudsen bagaimanapun belum memberikan sebarang komen sehingga kini.
Aplikasi video TikTok kini digunakan lebih 150 juta warga AS.
Sebelum ini, TikTok, yang dimiliki syarikat teknologi China ByteDance, berkata larangan Montana itu melanggar hak Pindaan Pertama penduduk dengan mengharamkan aplikasi terbabit secara tidak sah.
Menurut syarikat itu, pihaknya akan terus berusaha untuk mempertahankan hak pengguna di dalam dan di luar Montana.
Wakil rakyat dan pemimpin kerajaan di AS sebelum ini mendesak supaya TikTok diharamkan di seluruh negara selepas wujudnya kebimbangan mengenai potensi pengaruh kerajaan China menerusi aplikasi itu.
Menurut wakil Republikan, Gianforte, rang undang-undang (RUU) bagi pengharaman itu akan terus menjadi keutamaan mereka dalam usaha melindungi Montana daripada pengaruh Parti Komunis China.
TikTok sebelum ini, secara konsisten menafikan bahawa mereka pernah berkongsi data dengan kerajaan China, malah syarikat itu tidak akan melakukannya walaupun diminta berbuat demikian.
TikTok boleh berdepan denda kerana mengingkari keputusan kerajaan negeri Montana dan denda tambahan AS$10,000 (RM45,527) sehari jika terus melanggar larangan itu.
Kesatuan Kebebasan Awam Amerika (ACLU) bagaimanapun menyelar undang-undang itu dengan mendakwanya sebagai tidak berperlembagaan.
Sebelum ini, percubaan bekas Presiden AS, Donald Trump ,untuk melarang muat naik baharu TikTok dan WeChat melalui perintah Jabatan Perdagangan pada 2020 berjaya disekat oleh pelbagai mahkamah dan tidak pernah dikuatkuasakan. - REUTERS
(FOTO HIASAN/ REUTERS)