fb fb fb fb fb

Penggubahan wang haram, bekas Presiden Panama dijatuhi hukuman penjara

FOTO REUTERS

BANDARAYA PANAMA, 18 Julai- Mahkamah Panama menjatuhkan hukuman penjara lebih 10 tahun ke atas bekas Presiden, Ricardo Martinelli atas kesalahan pengubahan wang haram.

Martinelli mengaku tidak bersalah terhadap keputusan kes itu, yang dikenali sebagai "Perniagaan Baru", mendakwa dana awam digunakan untuk membeli sebuah konglomerat media dan memberikan bekas presiden itu kepentingan majoriti.

“Kita semua tahu mereka mahu mensabitkan saya kerana kepentingan politik. Saya tiada kaitan dengan dana haram,” kata Martinelli dalam video.

Empat yang lain turut dijatuhkan hukuman pada Selasa kerana penglibatan mereka dalam skim itu, menurut kenyataan pejabat peguam negara.

Martinelli diperintahkan membayar denda AS$19.2 juta selain menjalani hukuman penjara 128 bulan.

"Pasukan pembelaan akan merayu terhadap hukuman itu dan akan melaksana segala usaha perundangan yang ada," kata peguam Martinelli, Carlos Carrillo dalam sidang akhbar.

"Pencalonan Ricardo Martinelli Berrocal adalah kukuh," kata Carrillo sambil menyatakan dia masih layak bertanding jawatan presiden memandangkan ada masa untuk mencabar hukuman itu.


(FOTO REUTERS)

Bekas presiden itu juga menghadapi tuduhan pengubahan wang haram atas dakwaan penglibatannya dalam kes Odebrecht, skandal rasuah besar-besaran yang melibatkan pegawai awam di seluruh Amerika Latin.

Dua daripada anak lelakinya kembali ke Panama awal tahun ini selepas berdepan hukuman penjara di Guatemala dan A.S. kerana pengubahan wang haram dalam kes yang dikaitkan dengan Odebrecht.

Tinjauan yang diterbitkan pada bulan Mei oleh firma pengundian Campaigns & Elections Mexico meletakkan Martinelli sebagai pendahulu dalam pilihan raya akan datang, diikuti oleh bekas Presiden, Martin Torrijos.

Martinelli menjadi calon rasmi pertama untuk pemilihan presiden Panama 2024 bulan lalu selepas dia dipilih oleh parti Realizando Metas, sebuah kumpulan yang diasaskannya dua tahun lalu.

Amerika Syarikat menghalang Martinelli daripada memasuki negara itu pada Januari, menuduhnya menerima rasuah sebagai balasan untuk memberikan kontrak kerajaan secara tidak wajar semasa pentadbirannya pada 2009-2014.- REUTERS

Media Baharu