HO CHI MINH, 25 Mei- Seorang penggodam terkenal, Ngo Minh Hieu telah direkrut kerajaan Vietnam bagi memburu penjenayah siber.
Dia sebelum ini pernah dipenjarakan di Amerika Syarikat selama tujuh tahun kerana mencuri kira-kira 200 juta data peribadi rakyat negara itu.
Hieu kemudiannya dihantar pulang ke negara asalnya (Vietnam).
“Saya telah jatuh ke bawah, kini saya cuba mendaki semula,” kata lelaki berusia 32 tahun itu kepada AFP.
"Walaupun saya tidak mendapat banyak pendapatan sekarang, kehidupan saya lebih tenang,"
Jelas Hieu, tugas baharunya mendidik masyarakat Vietnam tentang bahaya aktiviti penggodaman seperti yang dia pernah lakukan sebelum ini.
Dalam masa sama, dia juga membantu kerajaan Vietnam menguruskan isu-isu berkaitan keselamatan siber.
(Selepas menghabiskan beberapa tahun di penjara AS, Hieu kembali ke Vietnam dan kini tinggal di Ho Chi Minh /AFP)
Digelar 'HieuPC' ketika berumur 12 tahun, dia pernah dikenakan denda AS$1,000 kerana mencuri sambungan internet orang lain untuk kegunaan peribadi.
Dia mula menggodam akaun bank asing sehingga memperoleh AS$600 sehari di sekolah menengah, kemudian menggunakan wang itu untuk mempelajari keselamatan siber di New Zealand.
Hieu terpaksa pulang ke tanah air pada 2010 selepas menggodam universitinya dan menjual maklumat peribadi pelajar, dan aktiviti haramnya semakin berleluasa.
Dalam usia 20-an, dia memperoleh AS$100,000 sebulan menggodam dan menjual kira-kira 200 juta nombor keselamatan sosial AS.
"Saya berada di puncak kejayaan. Saya terlalu bangga dengan diri sendiri. Saya mahukan lebih banyak vila, pangsapuri, dan kereta mewah," kata Hieu. -AFP