COLOMBO, 25 Mei- Perdana Menteri Sri Lanka, Ranil Wickremesinghe dilantik sebagai Menteri Kewangan bermula Rabu, hari ini.
Tanggungjawab itu bertujuan menyelesaikan krisis ekonomi yang semakin membimbangkan di negara itu.
Sri Lanka mengalami krisis teruk berbulan lamanya, diselangi dengan protes anti-kerajaan sehingga mengakibatkan pengimport tidak mampu untuk membiayai sumber makanan, bahan api dan ubat-ubatan.
Wickremesinghe, 73, mengangkat sumpah sebagai Menteri Kewangan selepas dua minggu berdepan konflik dengan rakan pakatannya menjelang rundingan bersama Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
Pelantikannya ditangguhkan sebelum ini berikutan pertikaian antara Wickremesinghe dan parti Sri Lanka Podujana Peramuna (SLPP), Presiden Gotabaya Rajapaksa berhubung individu yang layak memegang jawatan itu.
"Parti Presiden mahukan portfolio di Kementerian Kewangan, tetapi Wickremesinghemenegaskan dia mahu mengemudi jawatan itu untuk menyelesaikan krisis ekonomi negara," kata seorang ahli politik terkemuka yang terlibat dalam rundingan itu kepada AFP.
(Perdana Menteri Sri Lanka, Ranil Wickremesinghe /AFP)
Wickremesinghe dijangka akan memperkenalkan pelan belanjawan baharu tidak lama lagi.
Ia memberi penekanan kepada masyarakat miskin di Sri Lanka terutama yang terkesan akibat inflasi.
Rundingan dengan IMF berakhir semalam (Selasa), namun dijangka mengambil masa enam bulan lagi untuk menerima pinjaman daripada institusi berkenaan.
Sri Lanka dilaporkan gagal membayar hutang yang berjumlah AS$51 bilion dan telah melantik perunding antarabangsa untuk membantu menyusun semula bon berdaulat antarabangsa dan pinjaman dua hala yang lain.
Kerajaan telah menamatkan subsidi bahan api dengan berkesan dengan menaikkan harga ke paras tertinggi sejak semalam, dan pentadbiran Wickremesinghe dijangka akan menaikkan tarif elektrik dan air untuk meningkatkan pendapatan negara.
Manakala bekalan petrol dan diesel kedua-duanya masih kurang sehingga memaksa golongan pemandu beratur panjang untuk mengisi minyak untuk kegunaan harian. -AFP