fb fb fb fb fb

Penggodam Rusia sasar infrastruktur kritikal Barat

(FOTO FAIL/ REUTERS)

BELFAST, 19 April- Agensi pertahanan siber kerajaan United Kingdom (UK) hari ini memberi amaran mengenai ancaman terhadap infrastruktur kritikal negara Barat, angkara penggodam yang bersimpati dengan Rusia.

'Penggodam' yang dikendalikan oleh Rusia itu menjalankan kempen dalam talian dengan merosakkan laman sesawang awam yang terkenal atau menyebabkannya terputus hubungan dalam talian.

Bagaimanapun, beberapa kumpulan secara aktif merancang untuk melakukan lebih banyak kerosakan di dunia nyata.

Pusat Keselamatan Siber Kebangsaan Britain (NCSC), berkata ada yang menyatakan hasrat untuk mengganggu dan menyebabkan kerosakkan terhadap infrastruktur kritikal negara Barat, termasuk di UK.

"Kita jangkakan kumpulan ini akan mencari peluang untuk mencipta kesan sedemikian, terutama jika sistem tidak dilindungi dengan baik," katanya.

Walaupun kumpulan itu bermotifkan ideologi dan menyelaraskan diri mereka dengan kepentingan Rusia, mereka 'tidak tertakluk kepada kawalan rasmi' mana-mana negara, sekali gus menjadikan mereka sukar diramal.

Kejayaan serangan siber ke atas infrastruktur negara yang kritikal seperti grid tenaga atau bekalan air boleh menyebabkan kerosakan serius di dunia sebenar.

NCSC berkata serangan sedemikian biasanya memerlukan tahap kemahiran teknikal dan sumber yang sangat tinggi untuk dijalankan dan tidak mungkin dicapai oleh 'hackivist' atau kumpulan penggodam , tanpa bantuan luar.

Antara kesan penggodaman terbaru ialah pendedahan puluhan dokumen sulit perisikan Amerika Syarikat (AS) yang disiarkan dalam talian sejak beberapa minggu lalu.


(FOTO HIASAN/ REUTERS)

Menurut dokumen sulit berkenaan, kumpulan itu mendedahkan tangkapan layar skrin kepada pegawai FSB Rusia sebagai bukti bahawa mereka dapat 'meningkatkan tekanan injap, melumpuhkan penggera dan memulakan penutupan kecemasan secara rambang di stesen pengedaran minyak'.

Bagaimanapun, kesahihan dokumen itu belum disahkan secara bebas.

Beberapa negara mempersoalkan kebenaran beberapa dokumen, termasuk Britain, yang mengatakan terdapat 'tahap ketidaktepatan yang serius' dalam maklumat itu. - REUTERS

Media Baharu