WASHINGTON, 28 Oktober- Penggodam yang bersekutu dengan kerajaan China didakwa telah memintas audio panggilan telefon tokoh politik AS, termasuk seorang penasihat kempen yang tidak dinamakan bagi calon presiden Republikan, Donald Trump, lapor Washington Post pada Ahad.
FBI dan Agensi Keselamatan Siber dan Infrastruktur AS (CISA) menyatakan bahawa mereka sedang menyiasat akses tanpa kebenaran ke infrastruktur telekomunikasi komersial oleh individu yang dikaitkan dengan China.
Washington Post juga melaporkan penggodam berjaya mengakses komunikasi yang tidak disulitkan seperti mesej teks individu berkenaan. Reuters melaporkan pada hari Jumaat bahawa penggodam China turut menyasarkan telefon yang digunakan oleh individu berkaitan kempen calon presiden Demokrat, Kamala Harris.
Trump dan calon naib presidennya, JD Vance, juga menjadi sasaran, menurut laporan pelbagai media minggu lepas.
Kempen Trump telah dimaklumkan minggu lepas bahawa Trump dan Vance adalah antara beberapa individu di dalam dan luar kerajaan yang nombor telefonnya telah disasarkan melalui penyusupan ke dalam sistem telefon Verizon, lapor New York Times.
Kem Trump juga telah digodam awal tahun ini. Jabatan Kehakiman AS mendakwa tiga anggota Kor Pengawal Revolusi Iran atas tuduhan serangan siber tersebut, dengan mendakwa mereka cuba mengganggu pilihan raya pada 5 November.
Verizon dalam pada itu memaklumkan bahawa ia menyedari cubaan untuk menyasarkan sektor telekomunikasi AS bagi tujuan perisikan dan kini bekerjasama dengan pihak penguatkuasa undang-undang.
Kongres turut menjalankan siasatan, dan awal bulan ini, para penggubal undang-undang AS meminta AT&T, Verizon, dan Lumen Technologies untuk memberi penjelasan mengenai laporan bahawa penggodam China telah mengakses rangkaian penyedia jalur lebar AS.
Kedutaan China di Washington minggu lepas bagaimanapun memaklumkan mereka tidak tahu menahu mengenai perkembangan tersebut tetapi menegaskan bahawa China menentang dan memerangi serangan dan kecurian siber dalam semua bentuk.-REUTERS