fb fb fb fb fb

Korea Utara dakwa Korea Selatan ceroboh Pyongyang guna dron

Foto REUTERS

SEOUL, 28 Oktober– Kementerian Pertahanan Korea Utara menyalahkan tentera Korea Selatan atas insiden pencerobohan dron ke sempadannya untuk tujuan politik.

Tindakan tersebut dianggap sebagai pencabulan kedaulatan negara, lapor media kerajaan KCNA pada Isnin.

Berdasarkan keputusan akhir siasatan yang diumumkan oleh kementerian tersebut, Korea Utara mendakwa bahawa dron dari Korea Selatan telah terbang di ruang udara Pyongyang sekurang-kurangnya sebanyak tiga kali pada bulan ini bertujuan menyebarkan risalah anti-Korea Utara.

KCNA turut menyiarkan foto yang didakwa sebagai dron tentera Korea Selatan yang telah terhempas.

Pihak berkuasa Korea Utara turut mendakwa menemui lebih 230 rancangan penerbangan dan rekod log sejak Jun 2023 dalam analisis program kawalan penerbangan dron itu.

Ia termasuk rancangan untuk menyebarkan "sampah motivasi politik.

Rekod pada 8 Oktober menunjukkan dron tersebut berlepas dari pulau Baengnyeongdo di sempadan selatan lewat malam dan melepaskan risalah di atas bangunan kementerian luar negeri dan pertahanan di Pyongyang beberapa jam kemudian.

Kementerian Pertahanan Korea Selatan setakat ini belum memberikan sebarang kenyataan dan menyatakan dakwaan Pyongyang adalah "tidak layak disahkan atau diberi respons.

Seorang jurucakap Korea Utara memberi amaran bahawa negara itu akan bertindak balas dengan "serangan tanpa belas kasihan" jika insiden ini berulang, lapor KCNA.

Ketegangan antara kedua-dua negara kembali memuncak sejak Korea Utara mula menerbangkan belon yang membawa bahan sampah ke Korea Selatan pada akhir Mei, menyebabkan Korea Selatan menyambung semula penyiaran propaganda melalui pembesar suara.

Seoul dan Washington turut menyatakan bahawa Korea Utara telah menghantar 3,000 tentera ke Rusia bagi kemungkinan penempatan di Ukraine, yang mungkin menjadi peningkatan ketara dalam konflik Rusia-Ukraine.

Pyongyang pada Jumaat lalu menyatakan bahawa sebarang tindakan untuk menghantar tenteranya menyokong Rusia adalah selaras dengan undang-undang antarabangsa.-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD