NAIROBI, 17 Oktober - Timbalan Presiden Kenya, Kithure Kindiki, pada Khamis mengumumkan rancangan untuk mengadakan upacara pengebumian negara bagi mendiang bekas Perdana Menteri Raila Odinga, yang dijadual berlangsung di Stadium Nyayo pada Jumaat pukul 9 pagi.
Majlis itu akan disertai penghormatan ketenteraan, khotbah oleh Gereja Anglikan Kenya, bacaan ucapan takziah daripada pemimpin tempatan serta kenamaan luar negara, diikuti sesi penghormatan awam kepada jasad Odinga bagi memberi peluang kepada orang ramai menzahirkan penghormatan terakhir.
Odinga, tokoh politik berpengaruh yang pernah berkhidmat sebagai perdana menteri dan lima kali bertanding jawatan presiden, meninggal dunia pada Rabu pada usia 80 tahun ketika menerima rawatan di India.
Sementara itu, empat orang dilaporkan maut di Nairobi selepas pasukan keselamatan melepaskan tembakan dan gas pemedih mata bagi menyuraikan orang ramai yang berhimpun di stadium tempat jasad Odinga disemayamkan, menurut laporan media tempatan.-REUTERS