fb fb fb fb fb

Tentera Laut Mexico dikerah bantu penduduk terjejas banjir, angka korban cecah 70 orang

FOTO REUTERS

VERACRUZ, 17 Oktober - Tentera Laut Mexico mengerahkan beberapa helikopter dan pasukan darat pada Khamis bagi menghantar bekalan serta membersihkan kawasan yang terjejas teruk akibat banjir, dengan angka korban kini meningkat kepada 70 orang, manakala 72 lagi masih hilang.

Juruterbang Tentera Laut, Carlos Gregorio, berkata pasukan penyelamat menjalankan beberapa penerbangan setiap hari menggunakan helikopter Mi-17, Black Hawk dan Panther bagi menghantar bantuan, melakukan tinjauan udara, menilai kerosakan jalan serta memantau paras sungai di kawasan terjejas.

Di Poza Rica, timur Mexico antara kawasan paling teruk dilanda banjir anggota tentera laut dilihat memunggah kotak bekalan dari trak dan membersihkan timbunan lumpur di jalan-jalan utama. Namun, mangsa yang terselamat mengadu bantuan masih belum diterima sepenuhnya di sesetengah kawasan.

Presiden Claudia Sheinbaum mengesahkan jumlah korban akibat hujan lebat berterusan minggu lalu meningkat kepada 70 orang, melibatkan mangsa di negeri Veracruz, Hidalgo, Puebla, dan Queretaro.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE