SAO PAULO, 13 Januari - Aktiviti penebangan hutan di hutan hujan Amazon di Brazil mencatatkan kemerosotan sebanyak 50 peratus daripada tahun sebelumnya kepada paras terendah sejak 2018 menerusi data yang dikeluarkan kerajaan negara itu pada Jumaat.
Keputusan dianggap sebagai kemenangan kepada Presiden Luiz Inacio Lula da Silva pada tahun pertamanya memegang jawatan Presiden negara itu.
Sebelum ini, Lula berikrar bagi menamatkan penerokaan hutan secara haram di negara itu menjelang 2030.
Di bawah pentadbiran Presiden sebelum itu, Jair Bolsonaro, pemusnahan hutan hujan terbesar di dunia itu berlaku dengan pantas.
Menerusi data yang dikeluarkan oleh Agensi Penyelidikan Angkasa, INPE, kira-kira 5,153 kilometer persegi Amazon telah dibersihkan pada 2023, angka tersebut merosot kepada 49.9 peratus berbanding tempoh sama pada 2022.
Keluasan kawasan berkenaan yang lebih besar sebanyak enam kali daripada saiz bandar New York memberi cabaran yang dihadapi Lula dalam usaha memenuhi janjinya.
Disember lalu, data INPE menunjukkan, kemerosotan penebangan hutan sebanyak 23% dari tahun ke tahun kepada 176.8 kilometer persegi.
Kementerian Alam Sekitar Brazil berkata angka positif itu didorong oleh usaha tegas oleh Agensi Pemantau Alam Sekitar IBAMA, sambil menekankan bahawa jumlah notis pelanggaran yang dikeluarkan oleh agensi itu meningkat 106% dalam tempoh tersebut.
“Ini adalah langkah pertama ke arah mencapai matlamat sifar penebangan hutan menjelang 2030,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan di media sosial.-REUTERS