COLÓN, 17 Mei- Puluhan penduduk Panama mengadakan perarakan pada Jumaat dengan menaiki perahu menyusuri Sungai Indio sebagai usaha membantah rancangan pembinaan sebuah takungan air.
Takungan air tersebut dibina bertujuan untuk menangani kemarau berpanjangan yang menjejaskan operasi Terusan Panama.
Penduduk dari komuniti berhampiran sungai tersebut dilaporkan belayar sambil mengibarkan bendera Panama menuju ke Laut Caribbean sebagai simbol protes terhadap projek berkenaan.
Menurut laporan media tempatan, pembinaan takungan itu dijangka menjejaskan sekurang-kurangnya 2,000 penduduk yang perlu dipindahkan, memandangkan komuniti di bahagian selatan akan mengalami pengurangan paras air yang ketara.
Penduduk terlibat turut menuntut agar pandangan mereka diambil kira dalam proses membuat keputusan mengenai projek berkenaan.
Dalam satu kenyataan rasmi pada Jumaat, pihak berkuasa Terusan Panama memaklumkan bahawa mereka sedang berusaha untuk memberi maklumat secara telus kepada orang awam mengenai projek Tasik Sungai Indio.
Projek itu dikenal pasti sebagai pilihan paling berdaya maju bagi menjamin sumber air tambahan untuk lebih dua juta penduduk Panama serta memastikan kelangsungan operasi terusan itu untuk dekad-dekad akan datang.
Projek pembinaan takungan berkenaan dijadual bermula pada tahun 2027 dan dijangka mengambil masa sekitar empat tahun untuk disiapkan, serta memerlukan satu hingga dua tahun tambahan bagi proses pengisian air.- REUTERS