GAZA, 3 Jun - Penduduk Palestin dilihat melarikan diri dari Khan Younis pada hari Selasa selepas tentera Israel mengarahkan mereka mengosongkan kediaman serta-merta.
Tentera Israel mengeluarkan arahan pemindahan baharu untuk beberapa daerah di Khan Younis, pada lewat malam Isnin, dengan mengarahkan penduduk berpindah ke arah barat menuju kawasan kemanusiaan Mawasi.
Namun begitu, pegawai Palestin dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan bahawa kini tiada kawasan yang benar-benar selamat di Gaza untuk penduduknya berlindung.
Pihak berkuasa kesihatan di Gaza pula memaklumkan, arahan pemindahan baharu itu boleh menyebabkan kerja-kerja di Hospital Nasser iaitu kemudahan perubatan terbesar dan masih beroperasi di selatan Gaza terhenti.
Sementara itu, usaha terbaru untuk mencapai gencatan senjata nampaknya semakin sukar.
Israel bersetuju dengan gencatan senjata sementara yang disokong Amerika Syarikat untuk membebaskan tebusan, manakala Hamas menuntut penamatan perang secara kekal serta pengunduran sepenuhnya tentera Israel dari Gaza. - REUTERS